fbpx

Kelantan minta kapasiti 2,000 JLH lebihi keperluan semasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nik Nazmi (depan kanan) ketika meninjau Mangrove Point di Pelabuhan Klang. FOTO: AFIQ RAZALI

KLANG – Peningkatan kapasiti bekalan air terawat sehingga 2,000 juta liter sehari (JLH) menjadi faktor permintaan peruntukkan sebanyak RM8 bilion oleh kerajaan Kelantan.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, permintaan kapasiti bekalan air tersebut adalah berkali ganda berbanding keperluan semasa kira-kira 500 JLH.

Menurutnya, perkara yang perlu diutamakan juga sebenarnya adalah harus selari bagi mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW).

“Itu diminta (RM8 bilion) dan beberapa perkara dimaklumkan kerajaan negeri kelantan adalah mereka mahu kapasiti yang sangat besar.

“Sebenarnya keperluan di Kelantan tidaklah begitu besar sangat tetapi yang mereka nak berkali-kali ganda. Daripada 500 JLH kepada sampai 2,000 JLH, itu yang jadi RM8 bilion.

“Jadi sebab itu, apa yang mustahak dan diperlukan dan pada masa, memang betul kena seiring dengan pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) adalah atasi NRW. Kita bina loji macam mana pun kalau bocor tidak sampai pengguna,” katanya ketika ditemui pemberita selepas taklimat Selangor Maritime Gateway (SMG) di Mangrove Point, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas sama ada permintaan kerajaan Kelantan sebanyak RM8 bilion adalah tinggi bagi mengatasi masalah bekalan air.

Nik Nazmi turut menegaskan kegagalan keadah tadbir urus pengurusan Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) telah mengakibatkan masalah air di Kelantan tidak selesai seperti diakui bekas Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Exco kerajaan Kelantan dam pengurusan AKSB.

Dalam perkembangan sama, beliau menjelaskan jawatankuasa teknikal yang telah ditubuhkan sedang menilai permintaan berhubung isu bekalan air tersebut susulan pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Tambah Nik Nazmi, pihaknya sedang melihat cara terbaik dan projek utama yang perlu dibuat bagi menyelesaikan secara tuntas masalah air di dua negeri tersebut.

“Kedua-dua kerajaan negeri telah memaklumkan permintaan apa yang perlu dan pada masa Kerajaan Persekutuan ada kerangka perundangan yang perlu diikuti sama ada di peringkat Persekutuan iaitu bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN). Kalau di peringkat Sabah dibawah kerajaan Sabah.

“Tetapi Perdana Menteri tekankan, kita ada tanggungjawab sebagai kerajaan pusat membantu Sabah juga,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI