fbpx

K2

Bilik permainan ceria konsep Montessori

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Konsep perabot terbuka dapat memudahkan anak kecil untuk memilih permainan yang diingini.

MONTESSORI merupakan kaedah pendidikan berdasarkan aktiviti kendiri, pembelajaran secara langsung dan permainan kolaboratif.

Kaedah ini diguna pakai di sekolah khususnya yang mengutamakan latihan daya penglihatan, pendengaran dan sentuhan.

Ini berbeza berbanding kaedah pembelajaran tradisional yang berorientasikan kurikulum umum.

Bagi pasangan Norsuhaida Zaidi, 25 dan Mohamad Taufik Mohd. Rahim, 25, konsep tersebut diaplikasikan ke dalam ruang main (playroom) peribadi anak lelaki mereka.

Mendedikasikan bilik berkeluasan 10×10 kaki persegi di kediaman teresnya di Melaka buat anak tercinta, Norsuhaida akui, dia dan pasangannya sangat mementingkan kekemasan serta kebersihan rumah.

Wanita yang memiliki diploma pendidikan awal kanak-kanak tersebut berkata, kaedah Montessori mengajar anaknya, Thaqif Saddiq, 2, konsep kehidupan praktikal dan bermain tanpa ada jadual.

“Saya dan suami sangat mementingkan kebersihan rumah. Kami tidak suka mainan bersepah. Jadi, saya ajar anak saya bermain dalam playroom.

“Playroom Thaqif tidak ada katil. Sepenuhnya mainan dan almari baju sahaja. Saya sifatkan konsepnya ‘ala Montessori Malaysia’,” katanya yang pernah bekerja sebagai guru tadika.

Meninjau ke dalam ruang si cilik tersebut, tidak keterlaluan sekiranya dikatakan ruang tersebut persis sekolah Montessori.

Lengkap dengan pelbagai jenis alat permainan dan pembelajaran, susun atur dalam bilik si cilik itu sememangnya kemas dan tersusun.

Ruang lengkap bermain sambil belajar.

Bahagian dinding terserlah ciri-ciri ceria dengan cat dan hiasan bercorak, sekali gus meningkatkan nilai estetika ruang tersebut.

Karpet jenis tatami digunakan pada bahagian gelongsor kecil kerana materialnya sangat lembut apabila disentuh dan dipijak.

Ini kerana, persekitaran selamat dan selesa buat anak mereka merupakan keutamaan bagi pasangan ini.

Tambah wanita yang kini suri rumah merangkap ejen affiliate tersebut, proses keseluruhan dekorasi dilakukan secara berkala semenjak anaknya berusia enam bulan.

Dedahnya lagi, tema warna coklat diinspirasikan daripada produk-produk mainan Montessori yang rata-ratanya berasaskan kayu.

“Pada awalnya, saya sangat obses dengan warna biru tapi selepas saya mula meletakkan permainan Montessori ke dalam dekorasi, saya banyak beli mainan berasaskan kayu.

“Saya tidak suka campur warna tema dan lebih suka warna sekata. Saya membuat keputusan untuk memilih warna coklat,” ujarnya.

Mengulas berkenaan kos pengubahsuaian, bekas pembantu pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) itu berkata, ruang tersebut hanya menelan belanja bawah RM2,000.

Ini kerana, kebanyakan barang yang mengambil masa setahun untuk lengkap itu dibeli secara berkala menerusi laman Shopee dan Tik Tok.

“80 peratus barang playroom Thaqif dari Shopee dan Tiktok. Saya guna konsep bajet untuk siapkan playroom.

“Saya juga membuat sendiri DIY Box Homemade Activity Montessori dan jualnya di laman media sosial,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI