fbpx

Puteri UMNO sedia ‘nurseri’ untuk anak perwakilan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pergerakan Puteri UMNO mengambil inisiatif menyewa tiga bilik khas di Pusat Dagangan Dunia di sini bagi me­nempatkan anak-anak perwakilan yang hadir pada Perhimpunan Agung UMNO 2023 (PAU 2023) yang bermula kelmarin.

Ketuanya, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata, inisiatif itu memudahkan perwakilan terutamanya kalangan ahli Puteri untuk menempatkan anak mereka sepanjang persidangan.

Katanya, kira-kira 100 anak perwakilan di tempatkan di pusat jagaan tersebut melibatkan Dewan Pulau Pinang, Dewan Perlis dan Dewan Tun Dr. Ismail.

“Kami (Puteri) mengambil inisiatif ini (membuka pusat jagaan) memandangkan ramai kalangan perwakilan yang mempunyai anak kecil. Jadi dengan adanya pusat jagaan ini, mereka boleh bersidang dengan tenang dan selesa disamping anak mereka juga terjaga.

“Saya juga seorang ibu yang mempunyai anak kecil berusia dua tahun. Saya tahu bagaimana rumitnya untuk menguruskan anak, terutamanya ketika menghadiri persidangan seperti ini, jadi sebab itu pada PAU kali ini kami menyewa bilik dan membuka pusat jagaan ini,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Mengulas lanjut, Nurul Amal berkata, seramai 15 petugas terdiri daripada kalangan ahli Pu­teri dan pegawai sokongan swasta ditugaskan untuk memantau pusat jagaan kanak-kanak terbabit.

Ujarnya, pihaknya terpaksa menyewa tiga bilik bagi menempatkan kanak-kanak mengikut kategori umur.

“Kita asingkan bilik yang mana bayi diletakkan dalam bilik berasingan dengan kanak-kanak berusia dua tahun ke atas. Ini bagi memudahkan pemantauan dan proses penyusuan bagi bayi dan ibu,” katanya.

Tambahnya, jika ada keperluan dan permintaan daripada perwakilan pada masa depan, inisiatif ini akan dikekalkan pada pada PAU berikutnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI