fbpx

Mahkamah: Suami wanita kontroversi Siti Nuramira didenda RM16,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Alexender ketika hadir di Mahkamah Sesyen hari ini. - Foto oleh AFIQ RAZALI / KOSMO!

PETALING JAYA – Suami kepada wanita kontroversi Siti Nuramira Abdullah didenda RM16,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan membuat dan memulakan hantaran video jelik membabitkan kelab komedi kontroversi Crackhouse tahun lalu.

Hakim Azrul Darus menjatuhkan hukuman denda itu terhadap V. Alexander Navin, 39, selepas tertuduh menukar kepada pengakuan bersalah atas dua pertuduhan yang disabitkan ke atasnya pada sebutan semula kes hari ini.

Mahkamah memerintahkan tertuduh didenda RM8,000 bagi setiap pertuduhan dan dipenjara empat bulan bagi setiap pertuduhan sekiranya denda gagal dibayar.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua lelaki itu didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui aplikasi Instagram menggunakan nama profil Twitter ‘greenleafyconnoiseur’ dan YouTube dengan nama profil ‘Alex & Amy @ insta Greenleafyconnoiseur’ masing-masing pada 5 Jun dan 16 Jun tahun lalu.

Kedua-dua hantaran itu kemudian dibaca di sebuah kondominium di Damansara Perdana di sini pukul 10.30 pagi pada 9 Julai tahun lalu.

Justeru kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 233(1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu peguam, R.Sivaraj yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan atas alasan tertuduh menyesal dengan perbuatannya.

“Pada hari ini, tertuduh memilih mengaku bersalah pada awal perbicaraan kes dan pengakuan salah tertuduh telah menjimatkan masa mahkamah. Sepanjang siasatan dijalankan tertuduh telah memberi kerjasama yang baik,” kata peguam itu.

Semasa prosiding, peguam itu turut memaklumkan anak guammya telah berkahwin dengan Siti Nuramira pada 6 Disember tahun lalu dengan nama Islamnya Alexander Dzulkarnain Chandran yang mana tertuduh telah memeluk Islam sebelum itu pada 21 Julai tahun yang sama.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya P. Vitiya Monisha memohon mahkamah mengenakan hukuman berat dengan mengambil kira kepentingan awam lebih penting daripada kepentingan tertuduh sendiri.

Pada 17 April lalu, Siti Nuramira yang videonya tular membuka tudung dan menanggalkan baju kurung di kelab tersebut didenda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Hakim N. Priscilla Hemamalini menjatuhkan hukuman itu selepas Siti Nuramira mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan yang disabitkan ke atasnya.

Sebelum ini, pada tahun lalu tular satu video berdurasi 54 saat tular di media sosial memaparkan seorang wanita mendakwa dirinya beragama Islam dan menghafaz 15 juzuk al-Quran, bertindak menanggalkan baju kurung dan tudungnya sehingga mengundang pelbagai reaksi netizen. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI