fbpx

Ambil pengajaran di Tanah Suci, bentuk semangat perpaduan di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Al Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenan mencemar duli bagi mengucapkan selamat jalan kepada bakal jemaah haji di Hotel Movenpick di Sepang tadi. - Foto oleh FAISOL MUSTAFA / KOSMO!

SEPANG – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru kepada bakal jemaah haji serta seluruh rakyat untuk mengambil pengajaran di Tanah Suci seterusnya membentuk semangat perpaduan di Malaysia.

Al Sultan Abdullah bertitah, seluruh rakyat diseru mengambil pengajaran daripada kesatuan dan perpaduan ummah di perhimpunan terbesar manusia serta menjadikan tauladan dalam membentuk ikatan ukhwah di negara ini.

“Saban tahun, ketika musim haji, jutaan umat Islam dari pelbagai negara akan berkumpul di Tanah Suci untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu.

“Menjadi tetamu Allah dalam sebuah perhimpunan terbesar umat Islam mengajar kita untuk bersabar, bersifat toleransi dan saling menghormati sesama tetamu yang lain.

“Perbezaan warna kulit, bahasa, bangsa dan kelainan jurang pangkat serta darjat bukan lagi menjadi jurang pemisah antara umat Islam yang berhimpun di Tanah Suci,” titahnya ketika hadir mencemar duli pada majlis mengucapkan selamat jalan kepada bakal jemaah haji di Hotel Movenpick di sini tadi.

Turut berkenaan berangkat ialah Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar.

Mengulas lanjut, Al Sultan Abdullah bertitah, perhimpunan haji turut mengajar jemaah bekerjasama demi mencapai matlamat diidamkan selain nilai kehidupan mulia dalam membentuk kesatuan ummah.

“Perhimpunan haji juga merupakan satu manifestasi syiar perpaduan ummah yang maha agung untuk dijadikan tauladan dan pengajaran di negara kita.

“Lantarah itu, beta menyeru kepada bakal haji dan seluruh rakyat mengambil pengajaran dalam perhimpunan terbesar manusia di dunia untuk sama-sama jadikan tauladan serta pedoman dalam membentuk semangat perpaduan,” titahnya.

Pada masa sama, baginda turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan dan Tabung Haji (TH) susulan sentiasa mengambil berat menjaga kebajikan dan keselesaan jemaah.

“Beta turut menyeru agar TH terus mengambil langkah proaktif dalam menambah baik penyediaan perkhidmatan dan kemudahan infrastruktur kepada jemaah haji negara.

“Kepada bakal haji sekalian, beta harap agar sentiasa menjaga diri dan nama baik negara di Tanah Suci serta mengikut segala nasihat kesihatan selain amalan pemakanan disarankan oleh TH,” titahnya lagi.

Terdahulu, Al Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut berkenan beramah mesra bersama 355 orang bakal jemaah haji yang akan berlepas ke Tanah Suci pada petang ini menerusi penerbangan kumpulan ke-66. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI