fbpx

Gadis Kampus: Nor Farah srikandi silat negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NOR FARAH berjaya menyumbang pingat emas ketika Sukan SEA Kemboja 2023 baru-baru ini.

MESKIPUN harus beraksi di pentas akhir bagi acara silat dalam keadaan dirinya mengalami kecederaan patah tiga jari, Nor Farah Mazlan, 25 tetap memberi aksi terbaik buat negara tercinta.

Malah, aksi cemerlang Nor Farah itu telah membolehkannya menyumbang pingat emas buat negara pada Sukan SEA Kemboja 2023 baru-baru ini.

“Saya mengalami kecederaan sewaktu bertarung di peringkat separuh akhir ketika bertemu atlet Thailand.

“Pada pentas final menentang atlet Singapura, saya beraksi dalam keadaan cedera.

“Setelah memenangi perlawanan tersebut, saya berasa amat lega sekali.

“Sebelum itu, saya sangat risau dengan keadaan jari saya yang patah,” ujar gadis berasal dari Kota Belud, Sabah itu.

Sebelum itu, Nor Farah telah berjanji dengan dirinya bahawa apa jua cabaran yang dihadapi, dia perlu menang dan dapatkan pingat emas untuk negara.

Berbicara tentang penglibatannya dalam dunia silat, anak ketiga daripada tujuh beradik itu berkata, segalanya disebabkan pengaruh bapaya iaitu Mazlan Maznee.

Menurutnya, bapa merupakan seorang guru silat dan sejak usianya tujuh tahun dia telah belajar silat.

“Namun sewaktu sekolah menengah, saya ditawarkan untuk belajar di sekolah berasrama penuh dan aktiviti silat terhenti seketika.

“Setelah tamat alam persekolahan, saya kembali aktif dengan sukan silat sehingga kini,” jelasnya.

NOR FARAH bersama bapanya, Mazlan yang juga merupakan seorang guru silat.

Memilih untuk menjadi srikandi dalam dunia silat ternyata satu pilihan tepat yang dibuat oleh Nor Farah.

Malah, dia sendiri telah meraih pencapaian tertinggi dalam sukan silat setelah memenangi pingat emas dalam Kejohanan Pencak Silat Dunia 2022 yang berlangsung di Melaka.

Gadis yang memiliki berat 49 kilogram dan tinggi 153 sentimeter itu juga dinobatkan sebagai pesilat terbaik wanita pada kejohanan tersebut.

Nor Farah menjelaskan, dunia silat juga berjaya mencipta kenangan manis buat dirinya.

“Antara kenangan manis yang saya alami adalah perasaan diumumkan sebagai pemenang ketika mewakili negara.

“Perasaan tersebut sangat sukar digambarkan dan saya seolah-olah tidak percaya boleh sampai ke peringkat ini. Hakikatnya, apa yang saya kecapi kini, bermula daripada angan-angan kosong,” ujarnya.

Dalam pada itu, biarpun aktif dalam dunia silat, namun Nor Farah tidak pernah sesekali melupakan hal pelajaran.

Dia kini menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Perancis di Universiti Putra Malaysia (UPM).

“Saya minat dengan bahasa Perancis ini ketika menuntut di Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya, Selangor lagi.

“Pada waktu itu, saya mengambil bahasa Perancis sebagai subjek bahasa asing dan dari situ saya mula berminat mempelajari bahasa tersebut,” terangnya.

NOR FARAH mula aktif dalam dunia silat sejak berusia tujuh tahun.

Nor Farah mengakui, mendalami bahasa Perancis bukan sesuatu yang mudah dan dia perlu berhadapan dengan cabaran tersendiri.

Katanya, dia berhadapan dengan cabaran dari segi sebutan dan tatabahasa bahasa berkenaan.

“Sebutan memang agak susah dan kita kena selalu berlatih. Memandangkan jadual latihan saya padat, ada sesetengah kelas saya terpaksa hadiri secara hibrid.

“Disebabkan itu, interaksi secara bersemuka bersama rakan-rakan dan pensyarah agak kurang,

“Hal ini membuatkan saya mengambil inisiatif lain seperti belajar sendiri melalui platform online,” katanya yang juga suka melukis dan mewarna jika mempunyai masa lapang.

Sementara itu, Nor Farah berharap pada masa hadapan dia mampu mendapat pekerjaan dalam apa jua bidang berkaitan pengajiannya atau sebagai seorang atlet silat.

Bagaimanapun, dia tidak menolak rezeki dalam bidang lain jika telah ditentukan Tuhan.

Selain silat, Nor Farah amat meminati bola keranjang.

Menurutnya, dia jatuh cinta dengan sukan itu sejak berada di bangku sekolah menengah lagi.

“Ia merupakan sukan yang sangat memberi impak kepada perkembangan saya sebagai seorang atlet silat.

“Melalui sukan bola keranjang, saya memperoleh ketangkasan, kecergasan dan keagresifan ketika dalam gelanggang silat,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI