fbpx

Liga Super: Penang FC dah cuba ‘sekat’ JDT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kemenangan 2-0 ke atas Penang FC melengkapkan rekod sempurna JDT dalam saingan pusingan pertama Liga Super musim ini apabila merekodkan 13 kemenangan daripada semua 13 perlawanan ketika ini. - Foto oleh IQBAL HAMDAN / KOSMO!

GEORGE TOWN – Pengendali Penang FC, Manzoor Azwira Abdul Wahid nyata agak terkilan apabila beberapa serangan skuad Harimau Kumbang ketika tewas 0-2 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) semalam seperti sengaja ‘dimatikan’ oleh kesalahan yang hanya bersifat taktikal daripada pengadil.

Ujar Manzoor, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana ia boleh merencatkan permainan terutamanya apabila serangan dihentikan dengan cara yang tidak sepatutnya.

“Saya tak mahu cakap pasal mutu pengadilan tapi saya lebih kepada nak ‘counter’ balik (bidas) apabila ada yang berkata, mana-mana pasukan yang bermain dengan JDT, main ‘parking bas’ (bertahan) dan sebagainya tak dapat membantu memajukan bola sepak Malaysia.

“Kita (Penang FC) dah cuba nak bermain bola. Kita cuba untuk melepasi bahagian tengah padang tapi serangan-serangan kita ‘diperlakukan’ dengan ‘foul’ (kesalahan). Dalam bola sepak ni memang ada ‘certain’ (beberapa) ‘foul’. Tapi (perlu) yang logik dan sesuailah.

“Makna kata, (daripada pandangan) yang melihat. Saya cuma simpati kepada penyokong atau mungkin orang yang tengok dalam TV. Dia melihat ada serangan dilancarkan ke arah JDT dan bagaimana JDT mahu mengekang asakan pasukan Penang FC.

“Apapun, mungkin ini dapat ‘membuka mata’ kepada semua pihak agar lebih realistik. Nak ‘parking bas’ tak ada masalah. Nak main ‘open game’ (terbuka) pun tak ada masalah,” katanya.

Mengulas mengenai persembahan anak-anak buahnya selepas tewas 0-5 kepada lawan yang sama pada peringkat suku akhir Piala FA tempoh hari, Manzoor bagaimanapun berpendapat, kedua-dua saingan adalah berbeza sama sekali.

“Kita kalah 0-5 dalam Piala FA. Itu sebenarnya satu pencapaian yang baik kerana di peringkat suku akhir. Dalam hal ini, kita kena akui jentera serangan JDT adalah antara yang terbaik.

“Sebab itulah (dalam perlawanan semalam), saya cakap kepada pemain-pemain saya. Kalau tidak boleh dapat mata pun, kita jangan bagi satu jaringan yang besar sebab Liga Super ini lain kerana ia melibatkan 14 pasukan.

“Kita memang tak akan mampu untuk ‘ligan’ (kejar) JDT, tapi kalau dari segi perbezaan gol (termasuk bolos), itu sangat membantu di akhir musim. Jadi, bagi saya 2-0 (kalah kepada JDT) itu ‘adil’ walaupun kita kalau boleh tak mahu bolos. Nanti ada pula yang cakap kita suka (dibolosi),” katanya berseloroh.

Tambah Manzoor, secara keseluruhannya, istilah ‘puas hati’ terhadap prestasi Penang FC ketika ini tidak pernah wujud kerana beliau beranggapan bahawa skuad Harimau Kumbang itu masih memerlukan peningkatan pada setiap perlawanan.

“Tapi, saya tetap puji pemain-pemain saya kerana mereka sentiasa cuba untuk tingkatkan prestasi. Itu (pun) satu benda (perkembangan) yang baik,” ujar beliau. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI