BULU roma Ana (bukan nama sebenar) pasti meremang setiap kali teringatkan peristiwa menginap seorang diri di sebuah hotel terkemuka di ibu kota, biarpun perkara tersebut sudah dua tahun berlalu.
Pengalaman diganggu suara wanita misteri di dalam bilik hotelnya benar-benar membuatkan Ana terkejut sehingga menyebabkan dia enggan menginap bersendirian di mana-mana hotel lagi.
Membuka cerita, Ana berkata, dia membuat keputusan untuk staycation di dalam ibu kota secara solo atas alasan mahu ‘lari’ seketika daripada kesibukan kerja.
“Saya mahu menginap di hotel berdekatan sahaja kerana ingin suasana yang sedikit berbeza tanpa perlu berbelanja besar untuk menaiki pesawat dan sebagainya.
“Justeru, saya memilih untuk menginap di sebuah hotel terkemuka yang kebetulan sedang mengadakan harga promosi ketika itu,” ujarnya.
Selesai mengemas semua barang-barangnya, Ana memandu sekitar 15 minit ke hotel tersebut dan mendaftar masuk.
Suasana bilik yang cozy dan menenangkan itu cukup sesuai untuk Ana yang datang ke situ hanya untuk merehatkan diri.
Namun ketika dia mahu mandi air panas di hotel tersebut, Ana terkejut apabila lampu bilik airnya mula berkelip selama hampir lima minit.
Ini menyebabkan Ana mula berasa tidak sedap hati.
“Saya mula rasa seperti ada sesuatu yang tidak kena dan terus menghubungi pihak hotel untuk bertanyakan tentang hal itu.
“Selepas diperiksa oleh salah seorang petugas hotel, tiada apa-apa yang mencurigakan.
“Sejurus selepas itu, lampu tersebut kembali beroperasi seperti biasa, saya berasa sangat lega,” ujar Ana.
Mengakui dirinya merupakan seorang yang penakut, Ana berkata, masalah lampu berkelip itu menyebabkan dia berasa tidak sedap hati seperti ada perkara tidak kena.
Tambahan pula, itu merupakan pengalaman pertama Ana menginap seorang diri di bilik hotel, sekali gus membuatkan fikirannya cepat terganggu.
Ana mula memasang televisyen bagi memecah kesunyian bilik dan membuat panggilan video dengan keluarganya di kampung.
Ketika rancak berbual dan bergelak ketawa bersama adik perempuannya menerusi panggilan video, Ana terdengar suara seorang wanita yang turut sama tertawa.
“Saya bertanya kepada adik, suara siapakah itu? Adik berkata, dia langsung tidak mendengar suara lain selain suara kami berdua.
“Ketika itu, jantung sudah berdegup kencang kerana saya yakin ada mendengar suara perempuan lain,” ujarnya.
Ana segera menamatkan panggilan dan cuba untuk melelapkan mata.
Namun, memandangkan perutnya masih terasa lapar, dia sukar untuk tidur.
Disebabkan itu, Ana membuat pesanan makanan ke bilik terlebih dahulu.
Ketika sedang menunggu makanan tiba, Ana sekali lagi terdengar suara perempuan. Namun kali ini suara itu seolah-olah sedang berbisik sesuatu kepadanya.
Bagaimanapun, dia tidak dapat menangkap kata-kata perempuan itu kerana pertuturannya kurang jelas.
“Pada ketika itu juga, suasana bilik terasa semakin seram.
“Saya pula semakin gelisah dan hanya terfikir untuk pulang ke rumah,” ujar Ana.
Ana kemudian sekali lagi menghubungi bahagian reception hotel dan memberitahu tentang perkara tersebut.
Biarpun pihak hotel bersetuju untuk menukarkan bilik Ana, namun gadis itu nekad untuk pulang ke rumah dan membatalkan niatnya menginap di situ.
“Saya terlalu takut memandangkan ini kali pertama saya menginap seorang diri di dalam sebuah bilik hotel yang cukup besar.
“Hotel ini memang sudah lama. Mungkin sebab itu ia berhantu sehingga menyebabkan saya diganggu,” ujarnya.
Peristiwa tersebut cukup terkesan dalam minda Ana sehingga menyebabkannya tidak mahu lagi tinggal di bilik hotel secara bersendirian.















