fbpx

Bomba beri keutamaan kurangkan kadar kematian akibat lemas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Akmal (tengah) bersama peserta Bengkel dan Persidangan Pembangunan Kapasiti Pencegahan Lemas Negara-Negara Asia Tenggara 2023 di The Ship, Batu Kawan, Pulau Pinang hari ini. Foto oleh SITI NUR MAS ERAH AMRAN / KOSMO

SEBERANG PERAI – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memfokuskan keutamaan dalam mengurangkan kadar kematian akibat tragedi lemas di negara ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, JBPM merekodkan sebanyak 1,595 panggilan berhubung kes lemas dengan purata sebanyak 319 panggilan setahun dari tahun 2008 sehingga 2022.

“Laporan kematian akibat kelemasan dicatatkan sebanyak 1,341 mangsa dalam tempoh yang sama iaitu dengan purata sebanyak 268 kematian setahun.

“Lokasi kematian tertinggi yang direkodkan adalah di kawasan sungai dan tali air,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel dan Persidangan Pembangunan Kapasiti Pencegahan Lemas Negara-Negara Asia Tenggara 2023 di The Ship, Batu Kawan di sini hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, kesedaran umum masyarakat memainkan peranan penting dalam meminimumkan risiko lemas.

“Bila kita sebut kesedaran untuk mengelakkan kejadian lemas, di peringkat kerajaan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) misalnya ada menggalakkan latihan berenang membabitkan kumpulan keluarga berpendapatan rendah.

“Bagi pasukan bomba pula, mereka ada inisiatif dan gerakan kempen untuk memberi kesedaran kepada orang awam untuk mencegah tragedi itu meliputi pelbagai segi antaranya kaedah menyelamat, program kesedaran dan sebagainya,” jelasnya.

Terdahulu, program yang berlangsung selama tiga hari itu membabitkan penyertaan seramai 255 peserta tempatan dan antarabangsa dari 13 negara luar antaranya Australia, Laos, Singapura, Bangladesh, Indonesia dan Vietnam.

Perbincangan dan pembentangan pada sesi berkenaan tertumpu kepada perkongsian pengalaman dan pengetahuan daripada pakar-pakar tempatan dan antarabangsa dalam mengendalikan kejadian lemas di negara masing-masing. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI