fbpx

Penerokaan tenaga boleh diperbaharui perlu pertimbangan semula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA- Usaha Malaysia meneroka Tenaga Boleh Diperbaharui (RE) perlu dipertimbangkan semula bagi memastikan penjanaan tenaga itu dilaksanakan secara lebih cekap dengan mengutamakan konsep hijau dan bersih.

Pengarah Urusan Datametrics Research and Information Centre (DARE), Pankaj Kumar berkata, pertimbangan semula itu dilihat penting kerana ia bukan sahaja memastikan perjalanan ke arah RE dibuat secara mesra alam tetapi juga mampan.

Pankaj

“Peta Jalan Tenaga Boleh Diperbaharui Malaysia (MyRER) yang dilancarkan pada 2021 telah memetakan aspirasi RE Malaysia dengan menyasarkan mencapai tenaga itu sebanyak 31 peratus atau 12.9 gigawatt (GW) pada 2025 serta 40 peratus atau 18.0 GW pada 2035 selain 70 peratus menjelang 2050.

“Penghujung 2022, Malaysia mencapai 25 peratus RE daripada segi jumlah kapasiti penjanaan selain sedang mencapai sasaran ditetapkan untuk 2025, 2035 dan mungkin 2050 apabila dunia bersedia untuk sifar bersih.

“Perjalanan Malaysia ke arah menerima RE juga dilihat lebih tertumpu ke arah pertumbuhan kuasa Solar Skala Besar (LSS) selain pertimbangan lain termasuk hidro, biotenaga dan penjanaan tenaga geoterma,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

Walaupun dorongan ke arah penjanaan tenaga lebih ‘hijau’ dilihat sebagai langkah tepat, namun Pankaj turut membangkitkan persoalan sama ada platform sedang dipertimbangkan bagi penjanaan RE itu dilihat benar-benar bersih dan cekap atau sebaliknya.

Susulan itu, Pankaj menjelaskan, Malaysia perlu memberi tumpuan kepada tenaga lestari kerana ia berperanan membawa RE ke peringkat seterusnya melalui aspek kecekapan tenaga, alam sekitar selain kesan jangka panjang kepada masyarakat.

Jelasnya, walaupun ia adalah tepat bagi memberi tumpuan kepada RE untuk memastikan pencapaian sasaran sifar bersih menjelang 2050, namun Malaysia perlu mengambil kira perjalanan diambil bukan sahaja mesra alam tetapi mampan.

“RE dan tenaga lestari sering digunakan secara bergantian sehingga kebanyakan orang percaya bahawa semua tenaga boleh diperbaharui adalah mampan. Bagaimanapun, terdapat perbezaan yang ketara antara keduanya.

“Dalam konteks ini, RE dicipta dan diisi semula secara semula jadi. Ini termasuk tenaga yang diperoleh daripada matahari (solar), air (hidro) atau tumbuhan (biojisim). 

“Konsep itu adalah bertentangan dengan tenaga tidak boleh diperbaharui seperti arang batu, petroleum dan gas asli di mana ia diperoleh daripada bahan api fosil yang tidak boleh dijana semula,” jelasnya.

Bercakap mengenai definisi tenaga lestari, Pankaj menjelaskan, ia dihasilkan daripada sumber boleh diperbaharui iaitu angin, air, matahari dan haba melalui proses pengeluaran yang mempunyai kesan minimum terhadap alam sekitar.

Menurutnya, proses pengeluaran tenaga itu perlu mengambil kira perspektif komprehensif sama ada daripada segi cara ia beroperasi, bahan digunakan untuk mencipta platform, hasil sampingan operasi serta kesan platform yang pernah dilucutkan tauliahnya.

“Jadi, perjalanan ke arah tenaga lestari dilihat tidak mustahil meskipun teknologi hari ini tidak menyediakan penyelesaian tenaga yang benar mampan, hijau dan bersih.

“Oleh itu, dalam perjalanan ke arah menerima tenaga lestari, kita harus melihat teknologi memaksimumkan kecekapan sambil meminimumkan kesan terhadap alam sekitar dalam perspektif holistik. 

“Pengenalan teknologi maju seperti Penjanaan Tenaga Gabungan (Kogenerasi) dan Pemulihan Haba Sisa (WHR) juga disifatkan mampu meningkatkan tahap kecekapan baharu dalam penjanaan tenaga,” ujarnya.

Kogenerasi ialah penggunaan enjin haba untuk menjana elektrik dan haba pada masa yang sama di mana haba yang merupakan hasil sampingan penjanaan elektrik selalunya akan terbuang atau tidak digunakan. 

Loji kogenerasi memulihkan tenaga haba yang terbuang daripada penjanaan elektrik untuk pemanasan dan ia dikenali sebagai gabungan haba dan pemanasan daerah kuasa. 

“Teknologi itu memberi manfaat kepada pengguna dan masyarakat daripada segi peningkatan kecekapan tenaga, kerana ia adalah 40 peratus lebih cekap daripada penjanaan haba dan kuasa yang berasingan selain menawarkan pelepasan lebih rendah dan kos tenaga berkurangan. 

“Sistem kogenerasi juga boleh dijalankan pada mana-mana bahan api boleh diperbaharui.

“Loji kogenerasi juga mampu menjana tenaga daripada 1000 kW dan ke atas untuk mencapai skala ekonomi dan ia cukup fleksibel untuk membekalkan haba dan elektrik kepada semua jenis pengguna termasuk kilang dan kemudahan pembuatan di Malaysia,” katanya.

Hari ini, sistem penjanaan bersama telah berjaya digunakan di Eropah dan Asia dan semakin popular di seluruh dunia.

Dalam pada itu, sistem WHR pula menangkap haba yang dihasilkan dan dikeluarkan oleh kilang-kilang perindustrian (jika tidak terbuang), disuap ke dalam sistem minyak yang dipanaskan terma serta seterusnya mengaktifkan penjana turbin yang menghasilkan elektrik. 

Elektrik tambahan dijana daripada sistem tertutup itu kemudiannya boleh disalurkan semula kepada penggunaan kilang sekali gus mengurangkan penggunaan elektrik dihasilkan secara konvensional melalui bahan api fosil. 

“Memandangkan sistem itu menangkap haba dan seterusnya dilepaskan ke atmosfera sebelum menukarnya kepada elektrik, proses itu turut dilihat menghampiri konsep lestari dalam penjanaan tenaga.

“Lantaran itu, apabila teknologi semakin maju, banyak platform tenaga lebih mampan dapat dipertimbangkan apabila kos untuk membina platform itu semakin menurun selain kecekapan bertambah baik dan kesan keseluruhan terhadap alam sekitar dapat dikurangkan,” jelasnya.

Susulan itu, Pankaj turut berharap agar kerajaan dapat menggalakkan lebih ramai pemain industri untuk meneroka penyelesaian tenaga mampan bagi memastikan ia dapat dijana secara hijau serta bersih. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN