GAMBAR HIASAN

Kita makin cerdik atau makin bebal?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KALAU kita dikata bodoh, dungu, tolol, bebal dan apa sahaja seerti dengan makna perkataan itu, ada rasa marah tak? Ada rasa kecil hati? Atau sedikit pun tidak terasa malu?

Sakit hati kan! tetapi itulah hakikat yang perlu diterima mangsa-mangsa kes penipuan khususnya melibatkan anggota sindiket scam yang begitu licik mencari peluang daripada kebodohan si mangsa.

Sindiket scam yang berleluasa sejajar dengan meluasnya penggunaan internet menggantikan segala urusan kewangan dan perbankan secara fizikal ini hampir tidak pernah susut, malah semakin hari semakin menjadi-jadi.

Mereka tidak lagi perlu bersusah payah menggadai nyawa merompak bank, kedai emas, merompak dan menyamun di jalanan tetapi sekadar menyusun kata-kata dengan mangsanya.

Mereka ini akan bermulut manis jika menawarkan pinjaman mudah, pekerjaan gaji lumayan, peluang kemasan memperoleh hadiah terpijak, teman hidup yang kaya, kacak, cantik dan bergaya atau pelaburan singkat dengan keuntungan besar berkali ganda.

Mereka juga licik menyusun amaran, ingatan, nasihat dan ugutan atau menawarkan jalan singkat mengikut pelbagai cara termasuk kononnya mahu membantu menyelesaikan kes jenayah, saman dan sebagainya.

Semua itu tidak lain dengan satu tujuan. Duit mangsa perlu dipindahkan ke akaun tertentu (disebut keldai akaun) sebelum kemudian lesap ke tangan mereka.

Kisah scammer ini pula daripada sekecil-kecil kumpulan sehingga kepada sindiket bertaraf antarabangsa. Ada yang bergerak berseorangan seperti menawarkan telefon murah seperti jenama iPhone pada harga RM1,500 dan mangsa perlu pindahkan wang serendah RM50 sebagai deposit sebelum penjual itu hilang bersama deposit berkenaan.

Berdasarkan laporan, sindiket ini mampu melesapkan wang mangsa sehingga RM100,000 sehari dan ada yang mencecah RM3 juta sebulan (RM36 juta setahun!).

Tidak susah pun untuk mendapat jumlah itu, cuma buat panggilan nombor telefon, kelicikan bertutur serta sedikit kebodohan dan kebebalan mangsa.

Sebagai pengamal media, penulis hampir setiap hari berusaha menyiarkan kes-kes yang berlaku dengan harapan dapat memberi kesedaran kepada orang ramai.

Namun, hakikat yang terpaksa ditelan ialah ramai antara kita yang berasakan mereka ini pandai hanya kerana bergelar pendidik, doktor dan jurutera tetapi mudah panik apabila menerima panggilan daripada mahkamah, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan kastam (meskipun pada hari Ahad dan cuti umum).

Harapnya tidaklah nanti Kementerian Pendidikan terpaksa menggubal modul dalam matapelajaran di sekolah – kaedah mengatasi taktik penipuan scammer.

Marilah kita sama-sama menghayati pepatah lama ini, ‘jangan bijak terpijak, biarlah bodoh bersuluh’. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN