fbpx

KPM teliti cadangan naikkan gaji guru akademik tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fadhlina mengenakan lencana Malaysia Madani kepada pelajar yang menghadiri Karnival Kita Madani Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) hari ini. Foto oleh SITI NUR MAS ERAH AMRAN/ KOSMO!

SEBERANG PERAI – Kementerian Pendidikan (KPM) sedang meneliti cadangan untuk menaikkan gaji guru berkelayakan akademik lebih tinggi sekali gus merangsang golongan pendidik meningkatkan kompetensi diri ke arah kegemilangan profesionalisme keguruan negara.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pandangan berhubung cadangan itu diamati secara serius seiring dengan jaminan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bersetuju agar upah dan gaji penjawat awam dinilai semula.

Menurutnya, isu terbabit pastinya akan menjadi tumpuan awam sebaik sahaja ekonomi negara kembali pulih.

“Cadangan itu tidak lari daripada hasrat kami di peringkat KPM untuk melihat perkara sama dan sedang berada dalam radar perbincangan dan juga dalam konteks untuk meningkatkan kualiti guru dari segi kelayakan, maknanya integriti, kualiti dari segi perkhidmatan guru.

“Kita tidak pernah menghalang guru daripada melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi malah ruang dan peluang dibuka seluasnya untuk mereka. Selain itu, kita akan lihat dari segi integriti, keperluan malah dari sudut kualiti guru ini turut akan ditingkatkan dari masa ke semasa.

“Ketika ini mereka sangat layak dan ‘well trained’ (terlatih),” katanya ketika diminta mengulas berhubung cadangan Setiausaha Kluster Pendidikan & Modal Insan, Majlis Profesor Negara (MPN), Dr. Anuar Ahmad yang memohon kerajaan mengkaji semula gaji guru yang memiliki sarjana dan doktor falsafah (PhD).

Terdahulu, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal merasmikan Karnival Kita Madani Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) di Sungai Duri, Nibong Tebal, di sini hari ini.

Pelbagai program dijalankan buat penduduk setempat termasuk pemeriksaan kesihatan, kaunter perkhidmatan kerajaan serta jualan Agro Madani. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI