KUALA LUMPUR – SOCC Holdings Sdn. Bhd. (SOCC Holdings) kumpulan korporat terbesar milik anak jati Sarawak, mahu mengukuhkan jenama kumpulan dan aktif memperkenalkannya bukan sahaja ke pasaran domestik, tetapi di luar negara.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Amin Aznizan berkata, ia bakal tertumpu kepada perniagaan teras Kumpulan iaitu penyediaan perkhidmatan katering di pelantar minyak pesisir pantai negara melalui anak syarikatnya, SOCC Offshore Sdn. Bhd. (SOCC Offshore).
Syarikat yang sebelum ini dikenali sebagai Sribima Offshore Catering Services Sdn. Bhd. yang berpangkalan di Miri, Sarawak sejak 1983 itu telah diasaskan oleh datuk Amin seterusnya diwariskan kepada bapanya dan kini beliau merupakan generasi ketiga yang mengendalikan perniagaan berpotensi tersebut.

“Kami berkeyakinan untuk kekal beroperasi dengan rekod masa 10 juta jam tanpa sebarang insiden kemalangan sejak 30 tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Hari Terbuka SOCC Holdings di sini baru-baru ini.
Menurut Amin, SOCC Offshore yang menyediakan perkhidmatan katering berkualiti dalam industri petrokimia luar pesisir Sarawak dan Pantai Timur itu berjaya mendapat kontrak di pasaran Asia Barat.
“Meskipun nilai kontrak itu kecil, tetapi berkeyakinan ia bakal menjadi platform kepada syarikat untuk terus meneroka pasaran antarabangsa,” ujarnya.
Sementara itu, penganjuran sambutan Aidilfitri itu digabungkan dengan Hari Gawai yang bertemakan Festival Sarawak.
Majlis berkenaan menghiburkan lebih 500 tetamu yang hadir dengan pelbagai persembahan kebudayaan yang didatangkan khas dari bumi kenyalang.
Persembahan itu adalah bergendang dan bermukun iaitu dram tradisional Sarawak lengkap dengan violin serta pantun, joget dan tarian Ngajat. -KOSMO!ONLINE














