fbpx

MoU UPSI, CXS tingkat kebolehpasaran graduan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Md. Amin (tiga dari kiri) bertukar dokumen dengan Jonathan (dua dari kanan) selepas menandatangani MoU di FPM, Kampus Sultan Azlan Shah di Tanjung Malim hari ini.

TANJUNG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan CXS Analytics Sdn. Bhd. (CXS) menandatangani Memorandum persefahaman (MoU) hari ini bagi menjalin kerjasama dalam meningkatkan aspek kebolehpasaran graduan.

Majlis MoU yang diadakan di Fakulti Pembangunan Manusia (FPM), Kampus Sultan Azlan Shah di sini menyaksikan UPSI diwakili Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff manakala CXS diwakili, Pengarah Eksekutifnya, Jonathan Jaya Sudhir.

Jonathan dalam ucapannya berkata, CXS adalah syarikat yang bekerja untuk TalentCorp iaitu anak syarikat Kementerian Sumber Manusia (KSM) dalam membina MyNext Portal.

“MyNext Portal menjadi jambatan antara pendidikan dan kebolehpasaran graduan dengan menghimpunkan pelbagai instrument misalnya penilaian personaliti, minat, keupayaan kognitif, kepimpinan, gaya dan bakat.

Platform ini menguruskan maklumat yang boleh digunakan oleh mahasiswa, universiti dan majikan dalam penentuan kerjaya pada masa hadapan,” katanya hari ini.

Menurut beliau, projek CXS akan memperkukuh industri ‘profiling’ yang mengumpulkan semua maklumat berkaitan mahasiswa melangkaui maklumat asas diri mereka semata-mata.

Sementara itu, Md. Amin berkata, UPSI menyokong projek CXS dan TalentCorp menerusi penyediaan instrumen-instrument yang diperlukan oleh CXS dalam MyNext Portal.

“Dengan termeterainya MoU ini, UPSI menjangkakan lebih banyak projek perundingan berkaitan instrumen pengukuran dan penilaian yang akan dilaksanakan dengan CXS.

“Saya yakin kerjasama UPSI dan CXS ini akan dapat memastikan bahawa MyNext Portal kendalian TalentCorp terus menggunakan instrumen yang sah dan boleh dipercayai,” katanya.

Menurut beliau, UPSI mempunyai sembilan fakulti dan pusat-pusat kecemerlangan yang berpotensi menyediakan pelbagai kemudahan untuk dimanfaatkan oleh industri seperti CXS.

Selain itu, ujarnya, UPSI juga mempunyai kemudahan seperti penginapan untuk menjalankan program latihan dan seminar.

“Projek perundingan dengan CXS yang diketuai oleh Dr. Hazalizah Hamzah dari Jabatan Psikologi FPM berjaya menterjemah dua buah instrumen iaitu International Personality Item Pool (IPIP) dan instrumen untuk mengukur minat kerjaya iaitu RIASEC dengan menggunakan teknik ‘back-to-back translation’,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI