fbpx

Mayat lelaki ditemui terapung di sungai kelab golf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pihak bomba mengeluarkan mayat lelaki terapung di sebuah sungai kelab golf, di Kota Damansara, di sini, awal pagi tadi.

PETALING JAYA – Misteri objek terapung terjawab akhirnya apabila seorang pemancing menemui mayat lelaki tanpa identiti di sebuah sungai kelab golf, di Kota Damansara, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pejabat pertanyaan Balai Polis Kota Damansara menerima makluman daripada orang awam kira-kira pukul 1.25 pagi.

“Menurut saksi, ketika sedang memancing di jambatan, dia melihat objek terapung perlahan-lahan mengikut arus sungai.

“Apabila diperhati, ia adalah tubuh manusia dalam keadaan tertangkup dan terapung dalam sungai.

“Kemudian saksi terus menghubungi polis untuk maklumkan mengenai kejadian tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohamad Fakhrudin, mayat seterusnya diangkat keluar daripada sungai oleh sepasukan polis dan pihak bomba untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, setakat ini butiran penuh si mati seperti bangsa dan umur masih tidak dapat dipastikan lagi.

“Siasatan sedang dijalankan dan mayat dihantar ke Hospital Sungai Buloh bagi ujian saringan Covid-19 dan bedah siasat lanjut bagi mengetahui punca kematian.

“Kepada sesiapa yang melihat atau berada di tempat kejadian, mohon tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan Balai Polis Kota Damansara di talian 03-61421222 bagi membantu siasatan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI