fbpx

Pengasas pusat tahfiz didakwa tiga lagi pertuduhan jenayah seksual

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH diiringi anggota polis selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Alor Gajah, Melaka. - Foto oleh MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI/ KOSMO!

ALOR GAJAH – Seorang pengasas pusat tahfiz warga Singapura mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tiga lagi pertuduhan jenayah seksual terhadap seorang remaja lelaki berusia 14 tahun.

Tertuduh, Muhammad Firdaous Abdul Rashif, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja itu dan dia didakwa sebat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah seksyen kanun yang sama.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan luar tabii dan dia didakwa mengikut Seksyen 337C Kanun Keseksaan.

Kesemua kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 3 petang di rumah guru dalam daerah Melaka Tengah pada Mac 2023.

Bagi kesalahan di bawah Seksyen 337E Kanun Keseksaan, tertuduh didakwa merangsang mangsa yang sama untuk melakukan suatu perbuatan kelucahan melampau kira-kira pukul 1.30 pagi di lokasi sama pada 28 April 2023.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anis Najwa Nazari mencadangkan tiada jaminan diberikan dengan alasan tertuduh mempunyai rekod lampau pada 2019 dan dibimbangi akan menggangu mangsa dan saksi.

Katanya, tertuduh juga telah didakwa atas pertuduhan sama pada Rabu di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh dan pendakwaan tidak menawarkan jaminan.

Bagaimanapun, peguam Faathir Imran Firdaus yang mewakili tertuduh memohon jaminan munasabah kerana pusat tahfiz berkenaan telah ditutup selain perlu berada di sisi isteri yang sedang sarat mengandung.

Setelah mendengar hujah kedua-dua belah pihak, mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan dan dilarang menggangu mangsa, keluarga dan saksi serta perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan. Kes di sebut semula pada 26 Jun. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI