LUMUT – DN’S Beauty Solution (DN’S Beauty) menyasarkan jualan lebih RM10 juta daripada produk minuman tambahan, Fitztox pada tahun ini.
Pengasasnya, Nur Jauhatul Dinnie Mohammad Johari berkata, nilai unjuran tersebut mampu dicapai berikutan permintaan tinggi pengguna meskipun Fitztox baru dilancarkan pada Jun tahun lalu.
Menurut beliau, setakat ini, pihaknya telah merekodkan jualan berjumlah RM5 juta yang disumbangkan oleh ejen berdaftar selain promosi dan jualan melalui ‘affiliate’ di Tiktok.
“Kami sebenarnya kurang menggunakan pempengaruh, sebaliknya impak dari Tiktok membantu meningkatkan jualan sehingga mencapai sasaran awal sebanyak RM5 juta.
“Kita yakin dengan promosi dan strategi pemasaran yang baik, tidak mustahil jualan melebihi RM10 juta mampu dicapai menjelang hujung tahun ini,” katanya ketika ditemui pemberita pada program Meledak Of The Year 2022 yang diadakan di Manjung baru-baru ini.
Menurut Nur Jauhatul Dinnie, seiring dengan perkembangan syarikat, DN’S Beauty juga bakal mengorak langkah menembusi pasaran luar negara.
Jelas beliau, syarikat kini dalam proses menyiapkan rangka kerja terutama dari segi prosedur dan undang-undang negara pengimport bagi memastikan produk DN’S Beauty berada di pasaran Indonesia, Singapura dan Brunei sebelum akhir tahun ini.
“Memang terdapat permintaan tinggi dari negara luar terutamanya Indonesia. Setakat ini, kita masih belum mempunyai ejen di sana dan sedang berusaha untuk menembusi pasaran negara tersebut,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, DN’S Beauty menyasarkan pertambahan ejen dan stokis sebanyak 20,000 orang pada tahun hadapan termasuk di Indonesia, Singapura dan Brunei.
Sehingga kini, syarikat memiliki lebih 5,000 ejen dan stokis berdaftar di seluruh negara yang mana rata-rata mereka berjaya menjana pendapatan lumayan. -KOSMO!ONLINE














