fbpx

Kerajaan persiap kajian semula RMK12, atasi masalah air Kelantan, Sabah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar berucap pada perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri bagi bulan Mei 2023 di Puspanitapuri Putrajaya, hari ini. - Foto oleh FAISOL MUSTAFA / KOSMO!

PUTRAJAYA – Kerajaan sedang mempersiapkan kajian semula Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi melakukan beberapa perubahan terutama melibatkan perancangan dalam mengatasi masalah air di Kelantan dan Sabah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu berkenaan dilihat mengambil masa yang begitu lama untuk diselesaikan sedangkan ia perlu disegerakan demi kepentingan rakyat.

Katanya, usaha itu bukan bagi membiarkan atau meremehkan usaha lama, namun ia merupakan komitmen kerajaan dalam memastikan kecemerlangan bagi memperbaiki kelemahan yang dikenal pasti untuk tujuan penambahbaikan.

“Semalam, dalam Konvensyen Kerajaan Perpaduan, saya sebut tentang rundingan bekalan air di Sabah dan Kelantan. Kalau ikut rancangan kita, ia mengambil masa terlalu panjang iaitu termasuk dalam RMK12 atau Belanjawan Madani.

“Kalau saya sendiri pun duduk di Sandakan dapat air laut masin bercampur dengan air untuk minum, ia pasti ada masalah, begitu juga banyak daerah lain di Sabah dan Kelantan menghadapi masalah sama, ini bukan soal politik tetapi soal dasar kita,” katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri, di sini hari ini.

Jelasnya, satu rundingan berhubung isu berkenaan telah diadakan bersama Ketua Menteri Sabah dan Menteri Besar Kelantan dan ia telah dipersembahkan kepada Sultan bagi Kerajaan Persekutuan mengambil tanggungjawab biarpun ia memerlukan perbelanjaan besar serta tiada dalam perancangan asal.

Ujarnya, dasar itu perlu diubah yang memerlukan kesediaan penjawat awam melakukan anjakan sedikit daripada penggubalan dasar sedia ada.

“Sebab itu semalam saya sebut sukuk ke bon ke, tetapi masalah air adalah masalah asas. Semua agensi akan bincang termasuk Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan dengan dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara sendiri berhubung anjakan besar itu.

“Ia tidak ada dalam rancangan asal, kalau ada pun berperingkat, jadi saya tak boleh terima kenyataan ini. Ada hal-hal terpaksa disegerakan, ada jalan berlubang dan berlopak sesetengah berlaku di negeri-negeri kita telah peruntukkan RM1 bilion tahun ini, tapi untuk memenuhi keperluan asas tak cukup,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI