fbpx
RAJA ZULKARNAIN memiliki beberapa koleksi gambus dari luar negara.

Kecintaan Raja Zulkarnain pada muzik gambus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALUNAN petikan muzik gambus yang dimainkan oleh Raja Zulkarnain Raja Yusof pada pagi itu menjadi halwa telinga yang amat mengasyikkan buat sesiapa sahaja yang mendengarnya.

Jari-jemari lelaki berusia 52 tahun itu ligat ‘menari-nari’ di atas tali gambus bagi menghasilkan alunan muzik sepertimana yang dikehendakinya.

“Gambus ini kena dengan jiwa saya. Sebenarnya saya amat berminat dengan teknik permainannya.

“Sejak hari pertama belajar bermain gambus, saya telah jatuh cinta dengannya.

“Sehingga kini saya serius untuk mengangkat martabat gambus,” katanya yang juga merupakan Presiden Persatuan Gambus Malaysia.

Atas dasar memartabatkan gambus di negara ini, Raja Zulkarnain telah mengambil langkah untuk membuka Rumah Gambus yang terletak di Jalan Tun H. S. Lee, Kuala Lumpur.

Melalui pembukaan Rumah Gambus, ia akan menjadi hub kepada orang ramai untuk mengenali gambus dengan lebih mendalam.

Raja Zulkarnain berkata, pihaknya telah lama merancang untuk membuka Rumah Gambus itu dan ia hanya dapat direalisasikan pada tahun ini.

RAJA ZULKARNAIN (kanan) bergambar bersama pembuat gambus terkenal, Maurice Farouk Shehata.

“Kami mahu Rumah Gambus ini menjadi satu pusat di mana kita boleh melakukan kajian, mengadakan kelas dan mengatur pelbagai program bagi memperkenalkan gambus kepada orang ramai.

“Dengan adanya Rumah Gambus ini, kami dapat mempromosi dan mengangkat alat muzik gambus ke peringkat tertinggi.

“Ini kerana, kawasan sekitar Rumah Gambus merupakan destinasi yang sering dikunjungi oleh pelancong luar,” katanya.

Di Rumah Gambus juga, Raja Zulkarnain menganjurkan kelas bagi memberi ruang kepada mereka yang berminat untuk mendalami permainan gambus.

Ujarnya, kelas berkenaan dijalankan empat kali sebulan dan pihaknya akan menyediakan gambus kepada pelajar.

“Kebiasaannya, tempoh masa yang diambil untuk seseorang itu boleh bermain gambus adalah sekitar tiga bulan.

“Selepas tiga bulan, pelajar akan tahu memetik dan menekan ‘note’ gambus,” katanya.

Tambahnya, kelas tersebut bukan hanya disertai oleh orang tempatan, malah pelancong luar turut mengambil bahagian.

Mengulas lanjut tentang penglibatannya bermain gambus, Raja Zulkarnain berkata, semuanya bermula pada tahun 1999.

RAJA ZULKARNAIN melaras tali gambus sebelum mula bermain alat muzik berkenaan.

Ujarnya, ketika itu, dia melanjutkan pelajaran dalam bidang muzik di School of Oriental and African Studies di London, United Kingdom.

Ketika di sana, dia melihat ada gambus dijual di sebuah kedai yang menjual alat muzik tradisional dari pelbagai negara.

“Apabila melihatnya, saya teringat bahawa orang Melayu juga ada bermain alat muzik ini.

“Tanpa berfikir panjang, saya terus membelinya dan belajar bermain gambus,” jelasnya.

Tambahnya, dia berguru dengan seorang warga Iraq selama dua tahun bagi menguasai kemahiran bermain gambus.

Atas dasar kesedaran untuk menguasai lagi kemahiran bermain gambus, Raja Zulkarnain telah merantau ke beberapa buah negara untuk mendalami alat muzik itu.

Malah, dia pernah ke Kaherah, Mesir beberapa kali untuk belajar bermain gambus di sana.

Pada 2018, dia juga telah ke Istanbul, Turki untuk mengkaji tentang pembuatan gambus di negara itu.

“Di sana, saya berpeluang membuat kajian di sebuah bengkel terkemuka yang menghasilkan gambus.

“Saya melihat bagaimana proses pembuatan daripada pemilihan kayu sehinggalah terjadinya gambus.

“Peralatan yang mereka gunakan juga begitu moden berbanding pembuatan gambus di negara kita,” ulasnya yang pernah diundang menjayakan beberapa pertunjukkan gambus di luar negara.

Menurutnya, tidak ramai yang mahir menghasilkan gambus di negara ini.

Dia memaklumkan, hanya tinggal dua orang yang boleh membuat gambus.

Namun begitu, salah seorang daripadanya telah meninggal.

Kini, hanya tinggal seorang dan jika tidak ada yang mewarisinya mungkin Malaysia akan kehilangan individu yang mahir membuat gambus pada masa depan.

Selain itu, Raja Zulkarnain yang pernah mengajar di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) telah menerbitkan dua buah buku berkaitan gambus.

Berbicara tentang sejarah gambus di Malaysia, Raja Zulkarnain menjelaskan, gambus berasal dari Arab, sebelum tersebar ke Nusantara melalui perdagangan.

“Kita tidak boleh meneka dengan tepat bila gambus masuk ke negara ini.

“Namun, berdasarkan cerita yang saya dengar, ketika pedagang Arab datang ke negara ini mereka ada membawa alat muzik.

“Jadi, kami mengesyaki bahawa alat muzik itu adalah gambus. Ia juga dikenali sebagai oud,” terangnya.

Sementara itu, Raja Zulkarnain memaklumkan, selain minat bermain, dia juga merupakan seorang pengumpul gambus dan aksesori berkaitan alat muzik berkenaan.

Menurutnya, dia mengumpul gambus, pemetik gambus, tempat alas gambus dan lain-lain lagi.

“Saya memiliki tujuh gambus dari luar negara seperti Mesir, Iraq, Turki dan Greece.

“Saya juga memiliki gambus milik Raja Gambus Malaysia, Allahyarham Fadzil Ahmad yang diserahkan kepada saya sebelum beliau meninggal dunia.

“Sekarang gambus termahal yang saya miliki adalah bernilai RM32,000,” terangnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN