fbpx

Lembaga hitam muncul sewaktu memancing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

AKTIVITI memancing sememangnya menyeronokkan, apatah lagi apabila dapat melakukannya bersama rakan-rakan.

Bagi Nadlie (bukan nama sebenar), dia yang menggelarkan dirinya sebagai pemancing tegar tidak pernah membiarkan cuti hujung minggu berlalu begitu sahaja tanpa melakukan aktiviti memancing.

Sebagai seorang kaki pancing, di mana sahaja lokasi lubuk ikan yang diketahuinya, dia pasti akan sampai di situ sama ada bersama rakan-rakan atau bersendirian.

Di sebalik keseronokkan memancing dan menaikkan ikan, dia juga pernah berhadapan dengan pelbagai situasi cemas serta menyeramkan.

Bercerita mengenai pengalaman yang dilalui, Nadlie memberitahu, dia pernah berhadapan dengan situasi menyeramkan ketika memancing bersama seorang rakannya di sebatang anak sungai di kawasan hutan sekitar Kampar, Perak.

“Ketika itu, saya dan seorang rakan sedang memburu spesies ikan bersisik seperti kelah dan sebarau di kawasan sungai berbatu.

“Bagi memburu ikan spesies ini, kami akan bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain sama ada menyusuri arus sungai atau melawan arus.

“Kebiasaan, kami akan menyusuri anak sungai sehingga beberapa kilometer dari lokasi kenderaan diletakkan sebelum berpatah semula,” katanya.

Menurut Nadlie lagi, disebabkan hasil tangkapan pada hari tersebut tidak memuaskan, dia dan rakannya mengambil keputusan untuk bergerak lebih jauh ke hulu sungai bagi mencari lubuk ikan.

Selepas kira-kira empat jam, mereka akhirnya tiba di satu kawasan berbatu dan berjeram yang dilihat berpotensi menjadi lubuk ikan.

“Sangkaan kami tepat apabila sebaik gewang dilemparkan ke permukaan air, umpan pada batang joran saya terus disambar seekor ikan kelah bersaiz agak besar.

“Malah, selang beberapa minit, umpan pada joran milik rakan saya turut disambar seekor ikan kelah bersaiz sederhana.

“Melihat kepada situasi itu, kami menjadi begitu teruja. Selepas beberapa kali mengarau gewang, sekali lagi umpan pada joran saya disambar ikan kelah dan kali ini saiznya lebih besar,” katanya.

Menurut Nadlie lagi, sepanjang sedekad menjadi pemburu kelah, dia tidak pernah berhadapan dengan situasi tersebut apabila berjaya menaikkan lebih 10 ekor bersaiz sederhana dalam tempoh kira-kira 30 minit.

Jelasnya lagi, keterujaan memburu ikan air tawar itu menyebabkan mereka tidak menyedari bahawa matahari sudah berada tepat di atas kepala dan bahang panas sudah semakin terasa.

Sebaik menyedari waktu zohor sudah masuk, Nadlie memberi isyarat kepada rakannya bahawa dia ingin berehat seketika bagi menunaikan solat.

“Disebabkan kawasan ini agak berbatu, saya bergerak ke atas kira-kira 20 meter dari tempat kami memancing untuk mencari lokasi yang lebih sesuai dan selamat untuk mengambil wuduk serta mendirikan solat.

“Ketika sedang duduk di atas sebongkah batu sambil berwuduk, tiba-tiba anak mata saya terpandang satu susuk tubuh seakan lembaga hitam sedang berdiri di atas batu besar kira-kira 50 meter dari jarak saya berada.

“Pada asalnya, saya menyangkakan ia adalah rakan saya. Tetapi sebaik diamati, ia tidak menyerupai susuk tubuh manusia. Lembaga hitam itu berbadan besar dan berbulu.

“Sebaik melihat pandangan mata lembaga hitam itu yang amat menggerunkan, tanpa membuang masa saya terus berlari menuju ke arah rakan saya. Saya memberitahu rakan supaya siap untuk meninggalkan tempat berkenaan dengan kadar segera,” katanya.

Sebaik tiba di kenderaan dan berjaya keluar dari kawasan hutan tersebut, Nadlie menceritakan kejadian seram yang berlaku kepada rakannya itu.
Ketika itu, mereka juga baru menyedari bahawa kelah yang berjaya dipancing di kawasan lubuk ikan tersebut telah tertinggal.

“Selepas kejadian itu, beberapa bulan juga saya tidak turun ke sungai untuk memancing ikan kerana masih berasa gerun dengan apa yang berlaku.

“Kira-kira enam bulan selepas itu, barulah saya memberanikan diri untuk pergi semula ke sungai untuk memburu kelah.

“Apa yang pasti, saya tidak akan pergi memancing berseorangan kerana bimbang kejadian seram seumpama itu berulang lagi,” katanya sebelum menutup bicara.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN