fbpx

Mak Yong Anak Raja Gondang, sarat emosi, falsafah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Menariknya, tarikh akhir persembahan iaitu 14 Mei (esok), persembahan akan diadakan dua sesi bermula 3 petang dan juga 8.30 malam. - IQBAL ROSLI

PERSEMBAHAN teater Mak Yong: Anak Raja Gondang bakal menampilkan keunikan selain mempunyai tarikan tersendiri dengan jalan cerita yang digarap teliti sebelum dipertonton kepada pencinta naskhah sarat budaya tanah air.

Teater Mak Yong: Anak Raja Gondang merupakan naskhah asli berkisarkan Puteri Gak Jitra yang melahirkan seorang anak raja di dalam gondang dan tidak diterima oleh raja besar Serendah Sepagar Ruyong lalu dihalau keluar istana.

Naskhah tersebut juga mengetengahkan cerita sarat pusingan plot atau plot twist dan pelbagai cabaran yang ditempuhi oleh anak Raja Gondang ketika membesar meniti dewasa sehingga melibatkan pertempuran dengan raja-raja dan putera-putera naga.

‘Tribute’ buat Mak Yong

Menurut pengarah persembahan teater Mak Yong Anak Raja Gondang, Arifwaran Shaharudin, naskhah digarap sempurna sebagai tribute buat primadona Mak Yong tanah air iaitu almarhum seniwati Khatijah Awang yang cukup terkenal dengan seni lakon berkesan dalam menjayakan watak Mak Yong sejak dahulu lagi.

“Kami benar-benar buat ini untuk Mak Jah (Khatijah Awang), seni Mak Yong yang dibawa oleh Mak Jah akan kami junjung sampai bila-bila, dia yang memperkenalkan Mak Yong kepada semua bahkan kepada kami sendiri,” ujarnya.

Jelas Arifwaran lagi, dia mengambil masa berbulan lamanya untuk merancang dan menghasilkan skrip yang menuntut makna sebenar Mak Yong supaya tidak lari terlalu jauh daripada jalan cerita yang sesungguhnya.

“Saya mengambil masa yang lama untuk mencari makna dalam karya ini terutamanya berkaitan dengan kehidupan (Mak Yong). Ini adalah sesuatu perkara yang penting, saya mahu naskhah ini bukan sekadar persembahan bahkan sebagai agen penyebar nilai kebudayaan yang tinggi.

“Prosesnya agak rumit dan lama terutamanya proses membuat skrip itu sendiri, olahan daripada segi bahasa, loghat, intonasi dan lenggok amat berbeza dengan skrip teater moden yang biasa kerana ada sesetengah skrip tidak hanya boleh ditulis malah perlu diajar secara bersemuka,” ujarnya kepada Kosmo ketika ditemui pada sidang media Mak Yong Anak Raja Gondang, baru-baru ini.

Bunyi tradisional

Menyentuh perihal instrumen dan muzik yang akan dipersembahkan, pengarah muzik, Kamrul Husin berkata, muzik tradisional dalam teater nanti bakal didukung dengan alat muzik yang istimewa dan khas buat teater Mak Yong yang sarat bunyi-bunyian ‘merdu’ tradisional.

TEATER Mak Yong: Raja Gondang menerapkan ciri-ciri yang wajib tertib iaitu dibuka dengan lagu Mengadap Rebab dan seterusnya diikuti tarian, lakonan dan muzik.

“Dalam Mak Yong itu sendiri ada falsafah, bila berbincang, kami putuskan untuk bawa satu keistimewaan yang baharu, pada asalnya, muzik dalam Mak Yong hanya ada empat alat muzik yang asas sahaja iaitu rebab tiga tali, gendang ibu, gendang anak dan juga tawak atau dipanggil gong.

“Seiring teknologi dan zaman, kami bawakan penambahan gabungan alat muzik lain yang biasa dimainkan dalam wayang kulit serta tambahan gamelan melayu untuk menghasilkan bunyi yang megah seiring jalan cerita yang gah,” kata Kamrul.

Kamrul percaya, gabungan alat muzik ini akan menambahkan satu warna persembahan yang akan menjangkau ekspektasi orang terhadap Mak Yong. Jelasnya, malam persembahan teater Mak Yong: Anak Raja Gondang dijangka menjadi tanda aras persembahan budaya yang akan dijulang tinggi.

Justeru, seluruh produksi yang bertungkus lumus menghasilkan teater Mak Yong: Anak Raja Gondang ini menyeru seluruh pencinta seni budaya supaya hadir dan memberi sokongan penuh terhadap karya yang mungkin mampu menambat minat generasi baharu.

Persembahan menjulang budaya ini dipersembahkan di Panggung Sari, Istana Budaya bermula 12 Mei sehingga 14 Mei 2023 bermula jam 8.30 malam. Menariknya, pada tarikh akhir persembahan iaitu 14 Mei, persembahan akan diadakan dua sesi bermula 3 petang dan juga 8.30 malam.

Tiket  dijual bermula dengan harga RM30, RM60 dan RM100 boleh dibeli melalui laman web https://www.cloudjoi.com/shows/mak-yong-anak-raja-gondang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI