
BARU-BARU ini, acapkali rakan penulis bercerita mengenai rakan sebaya yang sanggup menanggung beban hutang semata-mata ingin merasai gaya hidup bertaraf T20.
Masalahnya, gaji rakan kepada penulis masih dalam kumpulan B40 namun disebabkan ‘selera besar’, diketepikan semua risiko dan sanggup mengikat diri dengan sebuah perjanjian bernilai ribuan ringgit iaitu hutang.
Situasi sebegitu bukan hanya dialami rakan penulis tetapi sudah menjadi barah dalam kehidupan golongan muda hari ini.
Pendapatan tidak mencapai tahap maksima dan keinginan diri yang sentiasa membuak-buak untuk hidup mewah membuatkan mereka sanggup menanggung hutang keliling pinggang.
Apatah lagi banyak platform bayaran ansuran muncul hari ini. Harga barangan RM15 pun sudah boleh dibayar secara ansurans selama tiga bulan.
Kedengaran lucu tetapi itulah realiti dicipta dan dilalui masyarakat hari ini semata-mata ingin hidup lebih mewah.
Prinsip biar papa asal bergaya masih dipegang teguh oleh golongan muda zaman sekarang. Biar hidup nampak gah, namun realitinya perlu mengikat perut.
Keinginan memiliki telefon bimbit dengan model terkini sehingga sanggup mengikat kontrak dengan bayaran bulanan antara yang popular dalam kalangan orang muda.
Bagi Pakar Ekonomi, Mohamad Noorizuddin Nooh, isu generasi muda berbelanja melebihi pendapatan mereka semakin meruncing dalam keadaan ekonomi tidak menentu ketika ini.
Baginya, ramai dalam kalangan mereka terjebak dan terikat dengan bebanan hutang sehingga sukar menguruskan aliran wang tunai dengan bijak.
“Budaya membeli-belah yang tidak terkawal dan terlalu teruja dengan kemunculan produk terkini sering menjadi faktor utama generasi muda berbelanja melebihi kemampuan.
“Banyak faktor mempengaruhi antaranya media sosial, persekitaran sosial yang memberi kesan kepada cara hidup serta pemikiran mereka,” katanya.
Ujarnya, isu tersebut sangat serius sekiranya tidak dibendung selain memberi impak negatif terhadap generasi akan datang dan negara.
“Sangat penting untuk memberi pendidikan berkaitan pengurusan kewangan bagi membantu mereka memahami kepentingan menjaga keseimbangan antara pendapatan dan perbelanjaan.
“Selain itu, kerajaan, institusi kewangan, dan masyarakat juga perlu bekerjasama menganjurkan program dan bantuan bertujuan membantu generasi muda mengurangkan hutang dan mempelajari cara menguruskan wang dengan bijak,” jelasnya.
Tambahnya, sokongan ahli keluarga dan teman rapat antara cara membantu generasi muda hari ini daripada terus terjebak dalam bebanan hutang.
“Sebagai contoh, keluarga boleh mendorong generasi muda menyimpan, melabur dan membuat anggaran belanjawan seperti membeli emas atau pelaburan yang dipercayai,” ujarnya.
Jelasnya, kerjasama semua pihak harus diperkukuhkan bagi menangani isu muflis dalam golongan muda bukan sahaja dalam negara tetapi di seluruh dunia.
“Berbelanjalah ikut kemampuan, jangan mudah hanyut dengan gaya hidup orang lain.
“Mudah kata, tepuk dada tanya selera. Jika tidak mampu, usah bergolok-bergadai untuk mendapatkan sesuatu yang tidak perlu,” tegasnya.














