MENGHITUNG momen melahirkan zuriat cinta sememangnya satu penantian seribu rasa.Itu yang dirasakan Che Puan Juliana Evans ketika ini. Bersulam debar dan teruja untuk menimang anak kedua, di dadanya terselit trauma terkenangkan momen pertama kali saat bergelar ibu.
SETIAP wanita yang bergelar ibu pastinya menyimpan memori saat melahirkan cahaya mata.
Dalam kegembiraan dikurniakan zuriat, terselit juga rasa trauma setiap kali teringat rasa sakit yang sehingga hari ini masih terasa.
Trauma, itu yang berulang-kali diucapkan Juliana sepanjang perkongsian pengalaman kelahiran anak pertamanya iaitu Tengku Kamiliah Zanariah Josephine Ehsan Shah, dua tahun lalu.

Trauma bersalin
Walaupun sedang sarat hamil anak kedua yang sudah memasuki usia 31 minggu, bintang filem Kami itu masih teringat kesakitan bersalin.
Tidak pernah menyesali kehamilan apatah lagi kelahiran anak yang membahagiakan, pemilik nama Juliana Sophie Johari Evans sebenarnya masih trauma dengan rasa sakit yang dilalui sepanjang hendak bersalin.
Bahkan, tidak pernah terbayang bahawa wujud rasa sakit yang digambarkan seperti nyawa ditarik.
“Kalau nak cerita tentang proses kelahiran memang tak boleh lupa, traumanya sampai sekarang masih terasa.
“Sakitnya masih bersisa ditambah pula suntikan epidural tidak berkesan pada saya ketika itu. Tuhan sahaja yang tahu rasa sakit ketika itu,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Paling memeranjatkannya ketika itu ialah rasa sakit bersalin yang tidak pernah terbayang dalam fikirannya.
“Ketika itu saya terfikir, wujud rupa-rupanya rasa sakit (sakit bersalin) sebegini. Kemudian rasa kontraksi dan sakit ketika meneran bayi.
“Rasanya macam nak mati tetapi syukur Tuhan tidak ambil nyawa saya,” ujarnya bintang Sa Balik Baju itu jujur.

Meskipun begitu, aktres berusia 33 tahun itu tetap bersyukur kerana masih diberi kesempatan untuk hamil anak kedua.
Sama seperti kaum ibu lain, dia turut melalui kesukaran fasa awal kehamilan impak perubahan hormon termasuk ketidakstabilan emosi.
“Kehamilan kedua pun agak sukar jika dibandingkan dengan yang pertama dahulu. Kali ini, emosi saya seperti ‘roller coaster’.
“Pada trimester pertama lalu memang agak teruk dengan rasa sedih, murung dan tak selera makan. Tidur pun tak lena.
“Memasuki trimester kedua semuanya kembali normal. Selera makan pun bertambah dan emosi pun sudah stabil,” katanya yang tidak mengidam sebarang makanan pelik sepanjang lapan bulan hamil.
Bercerita tentang kesediaan anak pertamanya menanti bayi kedua yang bakal dilahirkan sekitar Julai depan, Juliana memberitahu, Kamiliah sangat teruja dan seperti sudah cukup bersedia menjadi seorang kakak.
“Setiap hari dia mencium perut saya. Saya juga mendidiknya agar sentiasa bersedia dengan kelahiran adiknya nanti.
“Selain diri sendiri, anak juga kita perlu diajar supaya mentalnya bersedia dan tidak terkejut dengan kehadiran orang baharu dalam keluarga,” jelasnya.
Terlanjur bercerita, Juliana juga tidak merahsiakan jantina anak keduanya iaitu bayi perempuan.

Tolak tawaran lakonan
Bercerita mengenai karier, isteri kepada Tengku Shariffudin Shah Tengku Shah Al-Hajj itu terpaksa menolak tawaran lakonan untuk sebuah filem selepas mengetahui tentang kehamilan anak kedua.
Banyak pengorbanan dilakukan sepanjang tempoh kehamilan seperti menolak tawaran berlakon selain memastikan emosi dan kesihatan diri sentiasa terjaga.
“Tawaran itu terpaksa saya tolak sekitar akhir tahun lalu kerana watak yang saya dapat ialah sebagai seorang atlet yang memerlukan banyak aksi fizikal.
“Jadi, bagi memastikan kehamilan ini terjaga dan tidak mahu menyusahkan pihak produksi, memang saya terpaksa tolak.
“Syukur pihak produksi menerima keputusan saya dengan baik,” katanya.
Ditanya sama ada akan kembali aktif selepas melahirkan anak kedua, dia akan mempertimbangkan setiap tawaran mengikut kesesuaian jadualnya sebagai seorang isteri dan ibu.
“Saya tidak akan berhenti berlakon cuma akan lebih selektif untuk setiap tawaran.
“Banyak yang perlu dipertimbangkan termasuk dua anak yang masih kecil dan memerlukan perhatian saya.
“Semuanya bergantung kepada rutin hidup selepas ini,” ujarnya lagi.















