fbpx

Azeem catat masa 10.11s di Louisiana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZEEM mencetak masa 10.11s pada peringkat saringan Kejohanan SEC Outdoors 2023 pagi tadi. - AUBURN TRACK & FIELD

PETALING JAYA – Bintang pecut olahraga negara, Muhammad Azeem Mohd. Fahmi semakin menghampiri rekod 100 meter (m) kebangsaannya apabila mencatat masa 10.11 saat (s) pada Kejohanan SEC Outdoors 2023 pagi tadi.

Pelari berusia 19 tahun itu mencipta masa 10.11s tersebut ketika menamatkan peringkat saringan di tempat kedua di belakang rakan sepasukannya dari Universiti Auburn, Favour Ashe pada aksi di Baton Rouge, Louisiana.

Ia adalah catatan tahunan terbaiknya dalam tahun ini dan semakin hampir untuk menyamai rekod 100m kebangsaan iaitu 10.09s yang dilakukannya pada Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Cali, Colombia tahun lalu.

Dua perlumbaan sebelum ini menyaksikan pelari dari Teluk Intan, Perak itu mencatat masa 10.32s ketika menjuarai FSU Relays di Tallahassee pada Mac dan 10.14s pada East Coast Relays di Jacksonville bulan lalu.

Tidak mustahil Azeem mampu mencipta rekod kebangsaan baharu dengan catatan lebih pantas daripada 10.09s ataupun menjadi pelari pertama dari rantau Asia Tenggara dengan masa bawah 10s.

“Insya-Allah, ia (catatan bawah 10s) sudah tidak jauh. Saya akan lakukan yang terbaik di final esok,” katanya.

Pada aksi final pagi esok, Azeem sekali lagi akan berdepan dengan Ashe yang mencatat terpantas di peringkat saringan iaitu 10.06s.

Tujuh lagi pencabarnya ialah Javonte Harding (10.13s), PJ Austin (10.14s), Dorian Camel (10.16s), Da’Marcus Fleming (10.16s), Ryan Martin (10.17s), Godson Oghenebrume (10.18s) dan Robert Gregory (10.23s). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI