Pemilik kediaman tidak mempunyai pilihan selain meningkatkan kadar sewa rumah sehingga RM100 ekoran kenaikkan OPR sejak tahun lalu. – Gambar hiasan

OPR naik, sewa rumah pun naik sama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada 3 peratus yang diumumkan awal bulan ini bukan sahaja memberi kesan kepada kos sara hidup, malah turut membebankan para penyewa yang terpaksa menanggung kadar sewa rumah yang semakin tinggi.

Situasi berlaku apabila ada pemilik rumah mendakwa mereka juga perlu menanggung peningkatan bayaran pembiayaan perumahan setiap bulan, sehingga tidak mempunyai pilihan untuk menaikan kadar sewa rumah.

Bukan setakat itu, ada juga kalangan pemilik rumah yang mendakwa mereka kini semakin kerap dihubungi oleh pihak bank bagi menjelaskan bayaran pinjaman.

Seorang pemilik kediaman dikenali sebagai Aishah Mohamad, 40, berkata, dia terpaksa menerima hakikat akan bebanan yang perlu ditanggung ekoran kenaikan OPR buat kali kelima sejak Mei tahun lalu.

Bagaimanapun, pada masa sama, dia juga berdepan tekanan dengan karenah pihak bank yang menghubungi setiap hari sekiranya lewat beberapa hari untuk menjelaskan pembiayaan perumahan.

“OPR naik sudah berkali-kali, kami kena hadap. Kami juga perlu tanggung kenaikan kos per­belanjaan harian. Disebabkan itu, memang kami tiada pilihan lain untuk menaikkan kadar sewa rumah setiap tahun.

“Penyewa pula kena faham keadaan yang berlaku. Bukan kami suka-suka mahu naikkan, tetapi kami terpaksa. Jika tidak sanggup terima kenaikan, pindah sahaja. Ramai lagi perlukan rumah sewa ketika ini,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Sementara itu, seorang lagi tuan rumah dikenali Norhayati, 45, berkata, dia merayu agar kaki­tangan bank menggunakan budi bicara yang ‘sopan’ sekiranya berlaku kelewatan pembayaran kurang tempoh sebulan.

“Ada kakitangan bank kini sampai tahap menggunakan bahasa yang kurang enak semasa berurusan tentang pembiayaan dengan pelanggan. Kami seolah-olah dilayan seperti peminjam ah long.

“Keadaan ini dikatakan berlaku selepas tamat moratorium lalu,” dakwanya yang baru mendapat pekerjaan selepas diberhentikan akibat pandemik Co­vid-19 tiga tahun lalu.

Di Shah Alam, Selangor, seorang pemilik rumah, Sharif Ali, 54, mengakui dia tiada pilihan selain menaikkan harga sewa bulanan rumahnya sebanyak RM100 bagi menampung bayaran pinjaman pangsapuri yang dibeli sejak 15 tahun lalu.

Tambahnya, kadar bayaran ansurannya kini telah meningkat kepada RM600 berbanding RM500 sebelum ini.

“Kalau boleh memang tidak mahu naikkan sewa sebab beri kesan kepada penyewa. Namun, saya pun tersepit dan sewa itu hanya untuk bayar kadar faedah sahaja. Tiada untungnya.

“Jadi, OPR sebenarnya beri dilema kepada kami dan berharap penyewa memahami de­ngan keadaan ketika ini yang mencabar dari segi ekonomi,” jelasnya.

Bagi Abdul Sani, 56, pula, kenaikan sewa rumah ketika ini tidak memberi sebarang keuntungan kepada pemilik kediaman sepertinya kerana kos yang ditanggung bagi pinjaman perumahan adalah sangat tinggi.

Malah katanya, mereka juga perlu menanggung segala kos kerosakan atau baik pulih rumah termasuk cukai tahunan, sekali gus memberi kesan kepada per­belanjaan bulanan.

“Kadar faedah bank memang sangat tinggi, malah bayaran ansuran bulanan kepada bank juga telah meningkat sejak OPR naik tahun lalu.

“Ikutkan kami langsung tidak untung walaupun kadar sewa telah dinaikkan sehingga RM100 sebulan. Kos baik pulih rumah jika ada kerosakan juga sangat mahal memandangkan bahan-bahan pembinaan juga telah naik harga,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN