fbpx

Enggan buka ruang ‘body shaming’, Aizat kurangkan bermedia sosial

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AIZAT AMDAN. Foto oleh MOHD FIRDAUS MOHD JOHARI

KUALA LUMPUR – Penyanyi Aizat Amdan mengakui kurang berkongsi perkembangan di laman sosial bagi mengelakkan isu body shaming atau menghina fizikal terus menjadi perhatian.

Katanya, walaupun enggan mengendahkan kata-kata liar yang dilemparkan segelintir individu, sebagai insan biasa hatinya kadangkala terguris.

Body shaming macam awak boleh cakap saja badan kau dah naik, muka kau dah hitam. Bukankah benda sebegitu tidak sedap untuk didengar berulang kali.

“Mula-mula memang saya tepis dan tak ambil endah sampailah ada suatu masa isteri saya turut mendengar perkataan sama disebut-sebut.

“Jadi saya luahkan keadaan sebenar yang saya rasai itu kepadanya dengan mendedahkan benda itu memberi kesan kepada emosi saya.

“Malah itu mungkin antara sebab saya ambil pendekatan kurangkan berkongsi perkembangan di media sosial,” katanya ketika ditemui di majlis rumah terbuka Aidilfitri FYP Media dan Indigital Music, di Bukit Bandaraya, baru-baru ini.

Menurut penyanyi Lagu Kita itu, situasi berkenaan membuatkannya berasa selesa kerana perbuatan sedemikian turut mengundang dosa kepada penyebar yang cuba memalukan orang lain.

“Contoh kurang menyenangkan mengenai fizikal saya apabila sampai sekarang saya buat persembahan di festival, orang datang cakap tentang badan saya.

“Saya faham (orang nak tahu) tetapi masalahnya sekarang mereka pun kena tahu yang body shaming sudah tak cool.

“Kenapa nak sebarkan dosa sampai semua orang kena body shaming?” luahnya lagi yang mengakui mendapat sokongan penuh isteri, Elyssa Alia Ilias dalam melalui situasi sebegitu.

Ketika awal kemunculan di Akademi Fantasia musim lima Aizat pernah ‘berisi’, namun gigih mengikuti rutin senaman dan mengamalkan gaya hidup sihat hingga mampu mencapai berat ideal.

Begitupun, selepas empat bulan mendirikan rumahtangga, satu video dimuat naik seorang pengguna TikTok menunjukkan penyanyi berusia 34 tahun itu membuat persembahan di khalayak ramai yang mengundang komen netizen.

Segelintir memperkatakan perubahan tubuhnya yang didakwa kembali kepada asal, namun ramai peminat mempertahankannya.

Rata-rata menyatakan lelaki yang baharu bergelar suami kebiasaannya melalui fasa serupa kerana sedang diulit bahagia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI