fbpx

Mayat warga emas berlumuran darah ditemui dalam kereta Kancil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mayat mangsa ditemui dalam keadaan berlumuran darah di dalam sebuah kereta di Jalan Selayang Baru, Batu Caves, Selangor

PETALING JAYA – Polis menahan seorang lelaki susulan penemuan satu mayat warga emas dalam sebuah kereta jenis Perodua Kancil warna hijau di sebuah kawasan lapang berhadapan Selayang Centre Point, Jalan Selayang Baru, Batu Caves semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, mayat lelaki berusia 70an tersebut ditemui oleh orang awam kira-kira pukul 10.15 pagi, manakala suspek yang berusia 40an ditahan pukul 4.15 petang.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa beralamat di Selayang Baru. Mangsa berpakaian lengkap
berbaju kemeja dan berseluar slack panjang berada di bahagian pemandu dalam kereta dengan berlumuran darah.

“Pemeriksaan tubuh mendapati terdapat kesan kecederaan luka parah pada bahagian leher dan turut dijumpai satu objek tajam. (Mayat) mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Zainal Mohamed berkata, suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga 16 Mei ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Menurut beliau, motif kejadian masih dalam siasatan dan orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil membantu siasatan polis.

“Hubungi Pegawai Penyiasat dalam kes ini, Asisten Superintendan (ASP) Puteri Noor Asiah Mohd. Sharif di talian 012-6718024 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-61262222,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI