fbpx

[VIDEO] Jangan peluk Islam kerana kepentingan diri – Mohd Na’im

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd Na'im (kiri) memakaikan kopiah kepada saudara baru selepas memimpin bacaan syahadah bagi menyempurnakan pengislaman saudara baru pada majlis syahadah di Masjid Negara, di sini hari ini.- Foto FAUZI BAHARUDIN

PETALING JAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar menasihatkan saudara baharu supaya tidak menggunakan Islam sebagai ‘alat’ untuk kepentingan peribadi.

Sebaliknya kata beliau, semua saudara baharu perlu menggunakan kesempatan yang diberikan itu untuk terus bertakwa dan menyebarluaskan kebaikan Islam kepada seluruh komuniti.

Jelasnya, saudara baharu ini boleh menjadi ‘ejen’ dalam kalangan keluarga dan komuniti untuk mengembangkan lagi Islam di negara ini.

“Apabila kita peluk Islam, itu bukan ‘tiket’ untuk kita mencari kesenangan di dunia dan semata-mata untuk mengejar ganjaran di dunia. Tetapi rebut peluang ini untuk ke arah yang lebih baik.

“Jika mampu, sebar luaskan Islam bukan setakat kepada ahli keluarga, malah kepada komuniti setempat. Belajar dan dalami Islam sebaiknya, mana tahu selepas ini anda semua boleh menjadi pendakwah,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu membimbing tujuh orang saudara baharu melafazkan syahadah di Masjid Negara, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Na’im turut menyeru kepada suadara baharu agar tidak menjauhkan diri daripada keluarga dan terus berbakti kepada mereka walaupun berlainan agama.

“Janganlah anda semua menjauhkan diri dan ‘membuang’ keluarga, kerana walaupun sudah berlainan agama, ikatan kekeluargaan tidak akan putus buat selamanya.

“Yang ada keluarga atau adik-beradik bukan Islam, kena jaga dan ambil peranan. Kalau dulu cuai dan lalai, bila peluk Islam kena jadi seorang muslim yang sebenar-benarnya. Teruskan berkongsi tentang kebaikan Islam kepada mereka,” nasihatnya.

Pada masa sama, Mohd Na’im memaklumkan sejak menjawat jawatan Menteri Agama pada Disember tahun lalu, ini kali pertama beliau mengislamkan saudara baharu.

“Saya sangat terharu apabila berkesempatan membimbing saudara baharu kita pada hari ini selepas kali terakhir melakukannya ketika melanjutkan pengajian ijazah kedoktoran di London sekitar tahun 1994,” ujarnya.- KOSMO! ONLINE

@kosmoonlineSeramai tujuh orang individu melafazkan syahadah dibimbing Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar di Masjid Negara sebentar tadi.

♬ original sound – Kosmo!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI