fbpx

Universiti Taylor’s hasil video raya Rendang Tok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
VIDEO ‘Rendang Tok’ turut dilakonkan oleh pelakon terkenal, Namron yang membawa watak datuk.

SEMPENA meraikan Hari Raya Aidilfitri, Universiti Taylor’s telah menghasilkan sebuah video yang memaparkan kisah menyentuh hati tentang pentingnya pembelajaran sepanjang hayat dan pemberdayaan masyarakat.

Video bertajuk Rendang Tok itu menceritakan tentang kisah watak utama bernama Zaki yang menghidupkan semula warisan datuknya.

Datuknya merupakan seorang cef popular pada tahun 90-an yang dilakonkan oleh pelakon, Namron.

Zaki merekod semula aksi datuknya memasak melalui TikTok.

Namun, semasa penggambaran, datuknya berhadapan dengan kesukaran untuk mengingati.

Akhirnya, Zaki mengetahui bahawa datuknya itu didiagnosis mengalami penyakit Alzheimer.

Pada asasnya, video Rendang Tok itu mencerminkan tekad Universiti Taylor’s dalam melengkapkan masyarakat dengan pengetahuan dan kemahiran untuk membantu menggalakkan kehidupan bebas, selamat serta bermakna kepada warga emas.

Video tersebut menekankan kepentingan dan kelebihan pembelajaran sepanjang hayat sebagai alat penjagaan khusus untuk individu yang menghidap Alzheimer.

Video berkenaan juga berfungsi sebagai sumber meningkatkan kesedaran dan menawarkan sokongan kepada keluarga serta penjaga yang terkesan dengan penyakit itu.

Melalui video tersebut, kesungguhan Zaki pada datuknya menonjolkan kesan positif yang boleh diperoleh melalui pendidikan dan penjagaan pada kehidupan individu dengan Alzheimer.

VIDEO ‘Rendang Tok’ memaparkan banyak elemen positif dalam kehidupan.

Ketua Pegawai Pemasaran Kumpulan Taylor’s, Ben Foo berkata, pihaknya percaya bahawa pendidikan mempunyai kuasa untuk membawa perubahan positif kepada masyarakat di luar pengajian akademik.

“Iklan hari raya kami, Rendang Tok bertujuan untuk membawa sinar kepada realiti kurang dikenali mengenai penyakit Alzheimer.

“Pada masa sama, ia memberikan penyelesaian praktikal untuk meningkatkan kualiti hidup mereka yang menghidap penyakit ini.

“Kami harap dapat memberi inspirasi kepada masyarakat dengan pengetahuan dan kemahiran yang mendorong belas kasihan, perhatian terhadap warga emas serta membina kasih sayang menerusi pembelajaran sepanjang hayat,” katanya.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dianggarkan kira-kira 8.5 peratus warga emas atau kira-kira 260,000 orang di Malaysia menghidap demensia.

Dengan menggunakan terapi pergerakan kognitif seperti yang ditunjukkan dalam video itu, ia dapat meningkatkan kualiti hidup dan membantu memperlahankan perkembangan penyakit tersebut.

Antara terapi kognitif yang dipaparkan dalam video itu adalah menyediakan bantuan pembelajaran dan ingatan, menggalakkan penglibatan interaksi serta terlibat dalam aktiviti yang bermakna.

Dalam pada itu, Foo menjelaskan, sebagai sebuah institusi pendidikan, pihaknya komited dengan misi mereka untuk menjadi universiti yang bermatlamat dan memberi kuasa kepada masyarakat.

Menurutnya, melalui video itu, pihaknya berharap dapat memberi inspirasi kepada orang ramai.

Kata Ben Foo, pihaknya ingin melihat masyarakat mengambil tindakan bermakna dan membawa sinar kepentingan pendidikan dalam menyediakan penjagaan serta sokongan berkesan terhadap penghidap Alzheimer.

“Ini adalah pengingat bahawa tindakan penyayang dan sedikit perhatian dapat memberi impak positif dalam kehidupan mereka yang terjejas oleh penyakit Alzheimer,” jelasnya.

Selain video, Universiti Taylor’s juga telah mengambil langkah-langkah untuk memberi nafas baharu terhadap kurikulum mereka.

Ia bertujuan memperkasakan warga pensyarah dan pelajar dengan menyokong misi yang dinyatakan dalam Matlamat Pembangunan Mampan dan Agenda Persekitaran, Sosial serta pentadbiran korporat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI