PUTRAJAYA – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) memantau kawasan titik panas (hot spot) melalui satelit serta rondaan udara bagi memastikan tindakan pantas dilaksanakan sebelum kebakaran merebak dengan yang lebih teruk.
Pengarah Operasinya, Datuk Ahmad Izram Osman berkata, pemeriksaan awal dilakukan melalui satelit NOAA (National Oceanic and Atmospheric Administration) dan laman sesawang Asean Specialized Meteorological Centre (ASMC).
Katanya, setakat ini sebanyak 406 lokasi titik panas telah dikenal pasti berisiko terbakar setiap kali tiba musim kemarau.
“Jumlah tersebut adalah berdasarkan hasil data yang diperoleh pihaknya pada tahun lalu membabitkan kebakaran tanah gambut serta pembakaran terbuka,” jelasnya ketika ditemui Kosmo! di Balai Bomba dan Penyelamat Presint 7 baru-baru ini.
Tambah Ahmad Izram, pihaknya sedia mengerakkan aset helikopter yang berpangkalan di tiga negeri iaitu di Pangkalan Udara Bertam, Pulau Pinang; Pangkalan Udara Subang, Selangor dan Pangkalan Udara Miri, Sarawak dengan kekerapan pengawasan udara dilakukan ketika musim panas ini.
“Selesai mendapat maklumat, pengesahan akan dilakukan melalui tinjauan udara menggunakan helikopter serta unit dron bagi memastikan maklumat diperoleh itu tepat seperti dinyatakan dalam bacaan satelit.
“Kita turut menggerakkan rondaan di balai-balai bomba seluruh negara, kadang-kadang yang bakar sampah juga boleh dikesan disebabkan itu kita lakukan rondaan untuk kepastian,” katanya.
Izram turut memaklumkan kesiapsiagaan anggota berhadapan cuaca panas telah dipraktikkan lebih awal ekoran fenomena cuaca panas berlaku pada saban tahun termasuk persediaan pihaknya mengerakan semua aset di seluruh negara.
“Untuk aset, JBPM miliki sembilan pesawat, diikuti Water Tanker (69), Fire Rescue Tender (399) dan 480 van utiliti untuk digunakan termasuk EMRS. Ditambah peralatan lain seperti pam angkut sebanyak 372 siap sedia untuk digunakan sekiranya diperlukan segera.
“Bagi unit udara, kita gunakannya untuk ‘water bombing’ dan ‘bombing bucket’ digunakan untuk mengambil air dalam tasik atau sungai kemudiannya dibawa ke kawasan terlibat kebakaran,” ujarnya.
Jelas Izram, pihaknya turut berkolaborasi bersama Jabatan Alam Sekitar serta Jabatan Perhutanan bagi mendapatkan maklumat kebakaran hutan serta kawasan tanah gambut dan juga bantuan Bomba Sukarela.
“Bomba Sukarela ini amat diperlukan kerana mereka berada di kawasan yang jauh daripada Balai Bomba Penyelamat (BBP), mereka akan jadi (pasukan respons) yang terawal kesan titik panas ini lebih cepat,” ujarnya.
Justeru itu, beliau menegaskan tindakan mengesan kebakaran lebih awal khususnya di tanah gambut perlu kerana pihak bomba akan mengambil masa lebih dua minggu hanya untuk memadamkan kebakaran di kawasan tersebut.














