fbpx

Menantu berhenti kerja jaga bapa mentua strok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZZIF AZZURI (kiri) dan Maslina (kanan) melihat keadaan Ismail yang terlantar di Kampung Bukit Kuda, Klang baru-baru ini.

KLANG – Seorang lelaki sanggup berhenti kerja sebagai juruteknik untuk menjaga bapa mentuanya yang terlantar sakit akibat angin ahmar lebih setahun lalu.

Azzif Azzurri Mohd. Shukur, 46, memikul tanggungjawab itu selepas Ismail Jalal, 72, lumpuh sepenuhnya akibat serangan angin ahmar pada hujung 2021.

Kini, bapa kepada dua anak itu bergantung kepada pendapatan di bawah RM1,000 sebulan sebagai penghantar barangan.

Dia yang mempunyai masalah tulang rawan tergelincir (slip disc) berkata, dia sebelum ini bekerja di sebuah syarikat perkakasan di sekitar Puchong dekat sini.

“Namun, saya nekad berhenti kerja pada Mac tahun lalu untuk menjaga ayah yang hanya mampu terbaring akibat diserang strok.

“Biarpun perit, saya menganggapnya sebagai tanggungjawab seorang menantu dan turut bekerja menghantar barangan sekiranya berkelapangan,” katanya ketika ditemui di kediaman mentuanya itu di Kampung Bukit Kuda di sini semalam.

Terdahulu, keluarga itu menerima kunjungan Pengarah ­Eksekutif Kumpulan Hospital Salam, Datin Maslina Ibrahim yang menyerahkan sumbangan wang tunai dan barangan keperluan asas.

Menurut Azzif Azzuri, dia turut menjaga ibu mentuanya, Zaliha Ghani, 76, yang sukar berjalan dan terpaksa bertongkat akibat menghidap beberapa penyakit kronik.

“Rutin harian saya menguruskan ayah termasuk menyuap makanan menerusi saluran tiub, manakala isteri menguruskan ibu serta dua anak kami.

“Saya tidak pernah menyesal dan akan menjaga mereka selagi hayat dikandung badan,” ujar anak kelahiran Ipoh, Perak itu.

Sementara itu, Maslina berkata, sumbangan berkenaan diperoleh menerusi derma warga Hospital Salam yang di­salurkan kepada 10 keluarga kurang berkemampuan di Shah Alam dan daerah ini.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban keluarga itu boleh menyalurkannya di akaun bank Azzif Azzuri yang bernombor 21450061234 (Hong Leong Bank) atau menghubunginya di talian 018-271 6909.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI