fbpx

Amad Fadlin teringin sertai Big Stage

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AMAD FADLIN

ENGGAN menjadikan lambakan penyanyi baharu sebagai penghalang untuk menyinar dalam dunia hiburan, Amad Fadlin kekal berpegang teguh dengan impiannya untuk berjaya dalam bidang nyanyian.

Baru dua tahun belayar sebagai penyanyi, jejaka bertubuh genit itu mengakui sukar untuk dirinya dikenali susulan kemunculan penyanyi baharu yang diibaratkan cendawan tumbuh pada hari ini.

Sejak menceburkan diri dalam industri hiburan sekitar tahun 2019, Fadlin sudah meluncurkan sebanyak tiga buah single iaitu Tetap Setia, Sudah dan lagu terbaharu Melodi Cinta.

Bercerita lanjut, Amad mengakui sukar untuk menyanyikan lagu sedih kerana bimbang terbawa-bawa tidak mampu mengawal perasaan tersebut.

“Itu memang kelemahan saya apabila menyanyikan lagu sedih kerana pasti akan menangis memandangkan sukar untuk mengawal perasaan.

“Sehingga kini, saya tidak pernah membawakan lagu sedih, terutama mengenai ibu bapa kerana hati akan cepat tersentuh,” kata pemilik nama lengkap Muhamed Fadlin Zulkefle itu.

Disebabkan ketidakmampuannya menyampaikan lagu sedih, Amad juga menyimpan hasrat untuk menyertai pertandingan nyanyian supaya dapat mempelajari kelemahannya.

SELAIN menyanyi, jejaka berusia 26 tahun itu boleh bermain alat muzik iaitu gitar dan menulis lagu.
– AMIR KHALID

“Sebenarnya sasaran saya ialah ingin menyertai pertandingan Big Stage.

“Kalau boleh saya ingin belajar pelbagai perkara kerana dalam pertandingan tersebut mereka disediakan tenaga pengajar yang membantu cara kawalan pentas, nyanyian dan emosi,” ujarnya.

Bercakap soal single ketiganya yang dilancarkan pada 14 Mac lalu, idea penghasilan lagu tersebut tercetus ketika majlis perkahwinan kembali rancak sekitar awal tahun lalu.

“Single ketiga berjudul Melodi Cinta ini bergenre balada dan saya memang sasarkan untuk melancarkan lagu yang boleh digunakan untuk majlis perkahwinan.

“Kalau ikutkan juga, single ketiga ini kesinambungan daripada lagu pertama dan kedua saya kerana semuanya berakhir dengan mesej bahagia,” ujar jejaka itu.

Dalam pada itu, Amad yang dilahirkan daripada keluarga pemuzik hanya berserah kepada rezeki dan aturan Tuhan untuk kekal dalam bidang nyanyian tanpa merancang melakukan sebarang strategi.

“Kalau ikutkan saingan, tidak menjadi masalah pun buat saya kerana persaingan merupakan satu perkara yang bagus untuk seorang pendatang baharu.

“Strategi seni ketika ini ialah selagi boleh berikan, saya akan memberi segala usaha dan daya sehabis baik untuk memastikan nama sebaris dengan penyanyi sedi ada ketika ini,” tutupnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI