fbpx

Sikap ayah berubah, semua dia nak buat sendiri – Anak kedua Ridzuan Hashim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DHANIAL sebak ketika menceritakan mengenai arwah ayahnya.

HULU LANGAT – “Ayah sempat makan dua tiga suap sebelum tiba-tiba rebah.”

Demikian kata anak kedua kepada pelakon Allahyarham Ridzuan Hashim, Muhammad Dhanial ketika berkongsi detik cemas yang terjadi kepada bapanya saat tiba-tiba rebah di rumah mereka di Desa Tun Razak, di sini, pagi tadi.

Dhanial, 29, ketika ditemui di Masjid Al- Mustaqqin Batu 16, Hulu Langat, Selangor berkata, rutin harian bapanya hari ini tidak seperti biasa apabila pelakon berusia 62 tahun itu tidak bangun awal seperti kebiasaannya.

“Selalunya ayah akan bangun awal. Tapi hari ini pukul 7 pagi saya kejut dia tak bangun. Pukul 8 pagi pun tak bangun sehingga akhir ayah bangun pada pukul 11 pagi.

“Selepas itu seperti biasa ayah akan bersarapan dan sempat makan dua tiga suap sebelum dia tiba-tiba rebah,” katanya kepada Kosmo! Online.

Sambil menahan rasa sebak, Dhanial berkongsi perubahan sikap arwah bapanya apabila tidak lagi meminta bantuan untuk melakukan apa-apa termasuk untuk berdiri.

“Sejak akhir-akhir ini, arwah tidak seperi kebiasaan. sebelum ini jika dia mahu lakukan sesuatu, dia akan minta tolong termasuk untuk berdiri.

“Tapi sejak beberapa minggu terakhir ini, semua perkara dia mahu buat sendiri. Saya yang menjaga ayah sejak dia disahkan ada penyakit jantung sekitar tiga tahun lalu,” jelasnya.

Berkongsi perkara yang membuatkan Dhanial terkilan ialah bapanya tidak sempat untuk meraikan majlis pernikahannya yang bakal diadakan pada 20 Mei nanti.

“Itu yang membuatkan saya rasa terkilan dan sangat sedih. Ayah ada beritahu, dia akan ikut ke Tawau untuk majlis pernikahan.

“Saya pun dah siapkan tiket penerbangan dan baju untuk ayah. Memang rasa ralat sikit,” katanya.

Kongsi anak kedua daripada lima orang adik-beradik itu lagi, bapanya juga pernah berpesan supaya dia menjaga kesihatan. terutama makanan memandangkan keluarganya ada sejarah penyakit jantung.

“Ayah pernah pesan jangan makan perut banyak sangat sebab keluarga ada sejarah sakit jantung. Itu sahaja pesannya,” ujarnya.

Difahamkan, jenazah dibawa dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kariah Dusun Tua Hulu Langat selepas selesai solat Maghrib.

Hari ini, industri seni hiburan tanah air dikejutkan dengan berita pemergian mengejut pelakon Ridzuan Hashim yang dilaporkan meninggal ketika bersarapan pagi tadi di rumahnya.

Allahyarham yang cukup ikonik dengan karakter King menerusi filem KL Gangster itu berkahwin dengan Didie Alias pada 1991 namun disahkan bercerai pada 2002.

Hasil perkongsian hidupnya dengan Didie selama 11 tahun, mereka dikurniakan lima orang cahaya mata.

Sepanjang karier seninya, Allahyarham pernah menjadi kegilaan ramai usai lakonan filem Hati Bukan Kristal yang melayakkan diri dijulang sebagai Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia kesembilan pada 1992. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI