fbpx

Kerajaan negeri Johor bantu 176 kediaman musnah dibadai ribut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Onn Hafiz (kanan) meninjau rumah penduduk di Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru yang musnah dibadai ribut petang semalam.

JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri bakal memberikan pampasan terhadap kerugian yang dihadapi sebanyak 176 kediaman di Kampung Melayu Majidee, di sini yang dilanda hujan ribut, petang semalam.

Pegawai Daerah Johor Bahru, Muzaldin Mohamed berkata, jumlah pampasan bagaimanapun berlainan mengikut penilaian tahap kerosakan yang dibuat.

Menurut beliau, pemberian pampasan tersebut akan disalurkan secepat mungkin kepada mangsa yang layak.

“Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi meminta kerja-kerja pembaikan disegerakan, untuk itu, satu sesi ‘townhall’ akan diadakan untuk menerangkan kepada mangsa-mangsa terlibat.

“Beberapa agensi akan terlibat dalam menyalurkan bantuan termasuk Yayasan Majlis Bandaraya Johor Bahru; Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Pejabat Menteri Besar,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu, Onn Hafiz meninjau beberapa kediaman yang musnah akibat kejadian ribut yang melanda kawasan tersebut, petang semalam. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor, Mohd. Hairi Mad Shah dan Ahli Lembaga Yayasan Bandaraya Johor Bahru, Datuk Yahya Jaafar.

Sementara itu, Mohd. Hairi memberitahu, pihaknya mengucapkan penghargaan kepada pelbagai agensi kerajaan yang bertindak pantas dalam membantu mangsa-mangsa yang terjejas.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.45 petang semalam, hujan lebat melanda Kampung Melayu Majidee berserta ribut kencang menyebabkan lebih 100 buah rumah dan kedai musnah. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI