fbpx

Papan pintar interaktif bantu pembelajaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PAPAN pintar interaktif dapat membantu memudahkan guru menyampaikan pembelajaran kepada pelajar di sekolah.

PENDIGITALAN merupakan antara inisiatif yang dilaksanakan bagi memacu dunia pendidikan di Malaysia melangkah ke era baharu seiring negara maju.

Usaha itu boleh dilakukan dengan memanfaatkan perkembangan teknologi semasa untuk menjadikan penyampaian ilmu di pelbagai peringkat lebih interaktif serta berinovasi.

Bagi merealisasikan era baharu dalam pendidikan, alat bantu mengajar berupa papan pintar interaktif telah diperkenalkan dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

Inisiatif tersebut turut dilaksanakan menerusi jalinan kerjasama antara penyedia teknologi papan pintar Arvia, Israk Solutions Sdn. Bhd. (Israk Solutions) dengan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan (WP) Putrajaya.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Israk Solutions, Ahmad Najib Habeb, menerusi kerjasama itu, Arvia bakal menyediakan latihan berterusan menerusi program Pendidik Bertauliah Arvia.

“Program ini merupakan platform bagi membantu guru dan pengguna mengintegrasikan teknologi papan pintar dalam pengajaran mereka.

“Ia juga akan melengkapkan guru dengan kemahiran yang diperlukan untuk mengoptimumkan penggunaan teknologi berkenaan. Ini sekali gus mencipta pengajaran yang dinamik dan menarik,” katanya dalam satu kenyataan akhbar baru-baru ini.

Tambahnya, kerjasama antara Arvia dan Jabatan Pendidikan WP Putrajaya bertujuan mempertingkatkan usaha pendigitalan dalam pendidikan.

Kongsinya lagi, integrasi teknologi papan pintar berkenaan berupaya untuk merevolusikan penyampaian kaedah pendidikan pada masa kini.

Teknologi papan pintar Arvia direka untuk menyediakan pengalaman pendidikan lebih interaktif dan menarik bagi membolehkan pembelajaran diadakan dalam suasana menyeronokkan.

Papan Pintar Interaktif Arvia telah dibangunkan sebagai satu cara untuk memaksimumkan keberkesanan dan bertujuan mengurangkan masa dan kos perbelanjaan.

AHMAD NAJIB (kanan) sewaktu majlis penyerahan papan pintar interaktif kepada wakil Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya baru-baru ini.

Alat bantu mengajar itu dilengkapi layar LCD sentuh interaktif papan putih pintar dan menyokong perisian Android serta Windows.

Papan itu juga mesra pengguna kerana mudah dikendalikan dan boleh digunakan sebagai pengganti papan hitam.

“Ini menjadikan aktiviti pembelajaran lebih efektif menerusi penggunaan aplikasi-aplikasi tersedia dan enjin carian.

Ia juga boleh dipadankan dengan tablet bagi memudahkan pengguna mengendalikan papan pintar dari jauh.

Sementara itu, Jabatan Pendidikan WP Putrajaya dalam kenyataan tersebut memaklumkan, program berkenaan sudah dijalankan pada 22 Mac lalu dengan kehadiran guru daripada beberapa sekolah di sekitar Putrajaya.

Katanya, sesi itu membabitkan pengenalan dan pendedahan mengenai papan pintar berkenaan.

“Ini bagi memastikan wakil sekolah yang berminat mempelajari selok-belok, melihat dan mempunyai pengalaman mengendalikan papan pintar itu sendiri.

“Buat masa ini, papan pintar berkenaan hanya boleh didapati di Jabatan Pendidikan WP Putrajaya,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, usaha tersebut akan dilakukan secara berterusan oleh Israk Solutions dan Jabatan Pendidikan bagi meneroka serta merasai pengalaman mengendalikan papan pintar.

Ini membolehkan kedua-dua pihak mengumpul maklum balas daripada wakil sekolah sekiranya menghadapi sebarang masalah.

Pihak Jabatan Pendidikan turut teruja untuk bekerjasama dengan Arvia dalam memperkenalkan teknologi papan pintar kepada pihak jabatan serta sekolah di seluruh Putrajaya.

“Keupayaan teknologi berkenaan berpotensi untuk merevolusikan cara pengajaran dan pembelajaran.

“Kami berharap dapat melihat kesan positif terhadap sekolah dan golongan pelajar.

“Kerjasama ini juga bermatlamat membantu guru mengenal pasti dan memanfaatkan keupayaan teknologi papan pintar bagi membantu proses pembelajaran harian,” ujarnya.

Kerjasama berkenaan juga diharap dapat mengorak langkah penting dalam pendigitalan pendidikan di Malaysia.

Dengan memanfaatkan teknologi papan pintar terkini dan program latihan berterusan, golongan pendidik mampu meningkatkan pengalaman pembelajaran kepada pelajar.

Usaha berkenaan penting bagi memastikan para pelajar betul-betul bersedia bagi menempuh pelbagai cabaran era digital.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI