fbpx
HUN HAQEEM

Hun Haqeem tak marah kerap disoal perihal jodoh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SELAGI masih berstatus bujang, selagi itulah seseorang selebriti mahu pun sesiapa sahaja akan terus dihambat persoalan berkaitan jodoh.

Itu persoalan sama yang perlu ditelan si tampan berwajah ‘oppa’, Hun Haqeem sehingga hari ini, terutama pada sesi bertemu sanak-saudara semasa Syawal.

Pemilik nama penuh Haqeem Hermy berkenaan mengakui tidak dapat meloloskan diri daripada dihujani soalan-soalan cepumas sebegitu daripada golongan yang lebih berusia.

Tidak berasa rimas mahupun ingin ‘lari’ daripada realiti tersebut, bintang yang terukir nama menerusi Kampung People itu menganggap individu sekeliling sekadar mengambil berat dan mahu melihat dirinya bahagia.

Jodoh

“Saya sendiri memang tak terlepas daripada menerima soalan mengenai ‘bila hendak menamatkan zaman bujang’ dan ada juga mahu menjodohkan saya dengan mana-mana wanita.

“Tidak marah pun dan anggapnya sebagai perkara biasa. Hanya jawab ‘insya-Allah’ sahaja.

“Cuma bila jumpa tahun depan pun jawapan tetap insya-Allah lagi,” katanya kepada HibGlam sambil tertawa kecil.

HUN HAQEEM hanya berserah kepada Tuhan dalam usaha mencari calon isteri meskipun pernah meletakkan sasaran berkahwin pada usia 25 tahun.

Bukan tidak pernah mengimpikan untuk beraya berpasangan tetapi baginya jodoh masih belum tiba.

Hun bagaimanapun percaya, pasangan yang tepat akan tiba pada waktu yang dia sendiri sememangnya sudah benar-benar bersedia.

“Kalau jodoh sudah tiba, saya okey sahaja sebab seronok juga kalau dapat beraya berdua.

“Cuma sekarang masih belum dimiliki sesiapa lagi sebab sedang sibuk membina kerjaya seni. Masih banyak belum dicapai dan itulah yang menjadi keutamaan ketika ini,” ujar jejaka berusia 26 tahun itu.

Sementara itu, Hun bersyukur kerana pihak keluarga juga tidak pernah menggesa untuknya mendirikan rumah tangga dalam tempoh terdekat.

“Ibu memang penyokong tegar dan dia sentiasa beri galakan dalam perjalanan karier saya.

“Dia sendiri tak pernah paksa saya kahwin cepat apatah lagi mempersoalkan tentang lambat bernikah.

“Saya okey dengan status sekarang. Kalau sudah tiba masa, saya akan kahwin juga,” katanya yang mengimpikan seorang calon isteri yang matang dalam perhubungan.

Kesihatan mental

Usai perihal jodoh, anak kelahiran Kuching, Sarawak itu juga terbuka berkongsi pengalamannya yang pernah menghidapi masalah kesihatan mental beberapa tahun lalu.

Tidak memperincikan jenis gangguan mental dihidapi, dia berkata, perkara tersebut tercetus disebabkan beberapa faktor, termasuk masalah peribadi dan kerjayanya sebagai seorang pelakon.

“Setiap orang akan mengalami masalah kesihatan mental, tidak kiralah dia seorang selebriti ataupun tidak.

“Semua itu dugaan daripada Allah SWT. Banyak isu dan punca menyebabkan saya berdepan masalah kesihatan mental.

“Tahun 2021 hingga 2022 merupakan tempoh yang sangat mencabar untuk saya. Banyak perkara yang jadi, namun saya tidak dapat kongsikan dengan terperinci,” ujarnya lagi.

Kongsi bintang drama Angkara Cinta itu, jiwanya berasa kosong setiap kali bergelut perasaan.

“Sedikit yang saya boleh beritahu, sebagai seorang pelakon, penyakit tersebut melibatkan beberapa perkara ketika di set penggambaran ditambah pula banyak gunakan tenaga.

“Ditambah pula dengan masalah peribadi, itu adalah antara faktor saya alami masalah kesihatan mental.

“Perasaan saya ketika itu kosong, kadang-kadang hendak bercakap dengan orang atau ahli keluarga pun kena paksa diri.

“Perkara ini mungkin ada yang pandang remeh tetapi sebenarnya satu masalah serius,” jelasnya yang kini popular menerusi drama Imam Instant Ustazah Scammer bersama Mira Filzah.

Sepanjang bergelut dengan masalah mental, dia berterima kasih kepada ahli keluarga kerana tidak lelah memberikan sokongan dan galakan untuk dirinya.

HUN bersyukur watak Imam Asyraf menerusi drama Imam Instant Ustazah Scammer meraih sambutan hebat sehingga sohor kini dalam media sosial.– AFIQ RAZALI/VIU Malaysia

“Keluarga dan rakan baik adalah orang yang banyak beri sokongan untuk saya. Malah bersyukur, tiada sebarang tindakan luar kawalan yang saya buat, mungkin saya punya masalah masih minor.

“Untuk tangani masalah mental, kadang-kadang kita tidak boleh bergantung pada agama sahaja tetapi memerlukan pertolongan untuk berinteraksi dan dapatkan bantuan manusia.

“Sekiranya berlaku lagi, saya perlu bangkit dan lawan. Saya juga ada berjumpa dan minta nasihat pakar psikiatri sebanyak 10 sesi sebelum ini. Alhamdulillah semuanya sudah kembali pulih,” katanya mengakhiri perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN