fbpx

Kerajaan kaji semula gaji penjawat awam diperingkat menengah, rendah – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika hadir Sambutan Hari Pekerja 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.-GAMBAR FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Kerajaan akan mengkaji semula isu melibatkan gaji penjawat awam terutama mereka di peringkat menengah serta rendah yang dilihat tidak memberangsangkan ketika ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia merupakan komitmen kerajaan bagi memastikan semua nasib penjawat awam di negara ini terus terbela.

“Saya tahu upah gaji terutama penjawat awam peringkat rendah sangat tidak memberangsangkan, sudah sampai kita buat penilaian semula.

“Ini jaminan saya, kita beri komitmen, kita ambil alih dalam kewangan yang sangat parah hutang (negara) dengan RM1.5 trilion,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Pekerja di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar.

Beliau turut meminta agar penjawat awam memberi peluang selama setahun kepada kerajaan bagi membuktikan peningkatan hasil negara dan ia akan dipulangkan semula kepada penjawat awam.

“Beri saya tempoh setahun, kalau ada trend peningkatan hasil, yang pertama (perkara kita akan laksanakan) adalah upah penjawat awam.

“Selain itu, segala bonus atau apa saja kemudahan, termasuk kesihatan, yang harus dibantu, kita akan segerakan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI