fbpx

Ahsana mula dikenali, bantu golongan OKU hidup berdikari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TENAGA pengajar Ahsana memberi tunjuk ajar kepada golongan insan istimewa untuk membina keyakinan diri bagi berdepan dengan masyarakat pada masa akan datang.

PETALING – Kegigihan seorang wanita membantu ‘insan istimewa’ sejak dua tahun lalu membuahkan hasil apabila pusat kebajikannya kini mula mendapat perhatian masyarakat selepas berjaya membentuk pelatihnya hidup berdikari.

Pentadbir Persatuan Kebajikan Ahsana Kuala Lumpur yang mahu dikenali sebagai Ana berkata, dia rasa bertanggungjawab memastikan masa depan golongan orang kelainan upaya (OKU) itu cerah dan tak ketinggalan.

Katanya, dia lebih gemar melabelkan penghuni di situ sebagai insan istimewa kerana lebih dekat dengan masyarakat.

“Pada mulanya, hanya ada dua penghuni sebaik pusat ini dibuka pada Disember 2021. Selepas dua tahun, kami dapat membantu 18 penghuni dan empat daripada­nya telah keluar kerana sudah boleh berdikari dan menjalani kehidupan seperti orang lain.

“Inilah tujuan pusat ini dibuka supaya dapat melatih mereka berdikari, memberi ilmu di alam pekerjaan dan melatih keyakinan agar mereka berani berdepan dengan masyarakat,” katanya kepada Kosmo!.

Menurut Ana, setakat ini, pusat itu mempunyai 14 penghuni berusia sembilan hingga 70 tahun dengan kebanyakkannya mempunyai masalah penglihatan, pendengaran, sindrom down, autism dan sebagainya.

Tambahnya, Ahsana digerakkan dengan dana komuniti dan bukannya daripada mana-mana syarikat atau pertubuhan.

“Kami belanja RM21,000 sebulan untuk menguruskan segala keperluan. Kami tidak pernah meraih simpati bagi mengutip derma walaupun kos operasi mencecah RM252,000 setahun,” katanya.

Ujar Ana, masyarakat menghulurkan derma selepas melihat apa yang mereka dedahkan di media sosial iaitu cara mengajar dan mendidik penghuni.

“Ia bagi membuatkan pe­nyumbang berasa bersama-sama bertanggungjawab untuk kehidupan di sini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ana yang berasal dari Selayang, Selangor itu memberitahu, pelbagai pe­ngalaman suka duka telah dilalui sepanjang dua tahun beroperasi.

“Ada satu kejadian kami sukar mendapatkan sumbangan bagi membetulkan bahagian hadapan rumah Ahsana yang terbakar dengan alasan kami masih baru,” katanya.

Justeru Ana mempelawa badan kebajikan, pertubuhan bukan kerajaan, syarikat swasta dan pihak kerajaan untuk sama-sama membantu Ahsana demi membela nasib insan istimewa pada masa hadapan.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menghulurkan bantuan melalui Bank Islam Ahsana di 12270010015371 atau CIMB Bank 8604926104. Segala perkembangan Ahsana boleh diikuti di Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI