fbpx

Sindiket penyeludupan kanak-kanak Sri Lanka ke Eropah tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suspek ditahan di Penjara Kajang sehingga sebutan semula kes pada 11 Mei depan. - IHSAN JIM

PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan kanak-kanak Sri Lanka ke negara Eropah menggunakan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) di ibu negara pada 12 April lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, susulan itu, pihaknya berjaya menahan pasangan suami isteri warganegara Malaysia berusia 26 dan 37 tahun yang merupakan dalang sindiket itu.

“Modus operandi sindiket bergelar ‘Bahnu Internationals’ ialah menggunakan ibu atau bapa rakyat Malaysia daripada keluarga miskin yang mempunyai anak bawah umur 12 tahun untuk memanipulasi maklumat diri kanak-kanak tersebut.

“Sindiket itu akan memperdaya ibu bapa rakyat Malaysia supaya membawa sijil lahir anak mereka dan hadir ke pejabat Imigresen seolah-olah untuk membuat PMA untuk anak sendiri. 

“Bagaimanapun, semasa proses permohonan di kaunter Imigresen, kanak-kanak dari Sri Lanka yang hampir sama umur dengan anak sebenar akan dibawa bagi tujuan rakaman cap jari dan proses ambil gambar,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

Katanya, sindiket berjaya ditumpaskan semasa pasangan itu hadir ke JIM Kuala Lumpur bagi mendapatkan PMA kanak-kanak Sri Lanka terbabit.

“Tindakan peka dan pantas pegawai imigresen di bahagian pasport yang mengesan terdapat keraguan dalam permohonan PMA kanak-kanak itu mengambil tindakan menemu bual kanak-kanak tersebut.

“Ia berikutan ada perbezaan rupa paras yang ketara dengan penjaga dan gagal bertutur Bahasa Malaysia,” jelasnya.

Katanya, pasangan suami isteri yang mengetuai sindiket ini juga bertindak sebagai ‘Transporter’ dengan membawa kanak-kanak Sri Lanka yang berjaya memperolehi PMA ke Eropah. 

“Siasatan masih dijalankan bagi mengesan dan mengenal pasti tempoh sindiket itu telah beroperasi dan berapa ramai kanak-kanak yang telah terlibat.

“Berdasarkan siasatan awal, sindiket terbabit menerima upah sebanyak EUR30,000 (RM145,906) hingga EUR50,000 (RM243,176) bagi setiap seorang kanak-kanak yang diuruskan permohonan PMA dan diiring ke Eropah,” ujarnya.

 Pasangan suami isteri dituduh dibawah Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan ditahan di Penjara Kajang sehingga sebutan semula kes pada 11 Mei depan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI