fbpx

Pertandingan seni MR D.I.Y. tawar hadiah lumayan RM45,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pemenang pertandingan seni MR D.I.Y. tahun lepas, Mohd. Syazwan menunjukkan hadiah yang diterimanya.

PETALING JAYA – Kumpulan MR D.I.Y. [M] Berhad [MR D.I.Y.] telah melancarkan edisi 2023 pertandingan seni bertemakan panas atau sejuk dengan tawaran hadiah lumayan berjumlah lebih daripada RM45,000.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, melalui pertandingan tersebut, syarikat mengundang bakat seni dari seluruh negara  untuk meluahkan fikiran, interpretasi, bentuk, dan ekspresi kreatif mereka mengenai topik ini dan menterjemahkannya ke atas kanvas. 

“Penterjemahan hasil seni tersebut boleh dibuat berdasarkan makna sebenar iaitu berasa panas atau sejuk, atau dengan pengertian dan konotasi yang lebih mendalam, misalnya dengan merujuk kepada topik seperti yang digunakan dalam sastera atau bahasa deskriptif, serta isu semasa seperti perubahan iklim dan alam sekitar,” jelasnya.

Hadiah lumayan itu akan diagihkan kepada 20 pemenang dalam  pelbagai kategori, termasuk hadiah utama, anugerah pilihan juri dan anugerah pilihan CEO (Ketua Pegawai Eksekutif)  serta beberapa kategori baharu termasuk Anugerah Seniman Kreatif dan Anugerah Sorotan. 

Selain itu, lima pemenang akan diberi pengiktirafan dalam setiap kategori Bakat Muda MR D.I.Y., Anugerah Pilihan Ramai dan Anugerah Penghargaan Khas.

Ini adalah kali kedua MR D.I.Y. mengadakan pertandingan seni ini yang mana pada tahun 2022, Pertandingan Seni MR. D.I.Y. menganugerahkan hadiah utama kepada Mohd. Syazwan Abd Rahim, 28, dari Shah Alam untuk karya seninya Upside Down, berdasarkan tema “Kita Jaga Kita. What’s Next Malaysia?”.

Pertandingan tersebut bertujuan untuk menanamkan penghargaan terhadap seni Malaysia dalam kalangan orang ramai, yang seterusnya diharap dapat menyumbang ke arah pembangunan ekosistem kreatif yang kaya dan pelbagai di negara ini. 

Peruncit tersebut juga berharap dapat menyediakan platform yang mampan untuk memupuk dan membangunkan bakat-bakat seni di seluruh negara, sebagai salah satu cara mereka menambah nilai kepada Malaysia dan kehidupan rakyat Malaysia.

Bakat seni yang berminat untuk mengambil bahagian perlu menghantar penyertaan mereka di laman web MR D.I.Y sebelum 10 Mei 2023 dan dengan menyertakan huraian ringkas mengenai karya seni mereka (tidak melebihi 200 patah perkataan). 

Kanvas fizikal juga perlu dihantar ke Ibu Pejabat MR D.I.Y. di Seri Kembangan tidak lewat dari 7 Jun 2023. -KOSMO!ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI