fbpx

Bank Pembangunan beri jaminan kewangan kepada ER2E

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Roni (dua dari kiri) pada majlis pemeteraian antara Bank Pembangunan dengan ER2E di Kuala Lumpur baru-baru ini.

PETALING JAYA – Bank Pembangunan Malaysia Berhad (Bank Pembangunan) bakal memberikan jaminan kewangan sehingga RM76.8 juta bagi penerbitan sukuk bernilai RM96 juta oleh Econas Resource to Energy Sdn. Bhd. (ER2E).

Sukuk ini adalah sebahagian daripada program ASEAN Sustainability SRI Sukuk Murabahah bernilai RM500  juta ER2E.

 Dana ini akan digunakan untuk membiayai sebahagian daripada pembangunan Kompleks Pemulihan Sumber dan Pelupusan (RRDC) dan Kemudahan Rawatan Sisa Berjadual Sumber Tenaga (R2E-SW) Bersepadu di Pengerang, Johor, yang akan meningkatkan kapasiti kemudahan pengurusan sisa berjadual di Malaysia.

AmInvestment Bank Berhad adalah Penasihat Utama dan Pengatur Kumpulan untuk program ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPMB, Roni Abdul Wahab, berkata, projek ini bersesuaian dengan tujuan bank untuk menyokong pembangunan negara menerusi penyediaan modal berimpak tinggi.

“BPMB telah membangunkan satu rangka kerja yang dikenali sebagai Measuring Impact on National Development (MIND) untuk menilai impak semua projek yang dibiayainya,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan.

MIND menilai secara objektif elemen-elemen pembangunan, sosio-ekonomi dan alam sekitar sesuatu projek. Keputusan penilaian ini saling melengkapkan proses penilaian kredit BPMB.

Selain itu, Pengerusi Eksekutif Kumpulan ER2E, Datuk  Mohd. Shafiee Mohd. Sanip menjelaskan, bertempat di Pengerang, RRDC R2E-SW berada di lokasi strategik untuk memenuhi keperluan syarikat-syarikat yang beroperasi di seluruh negara, termasuk di sekitar kawasan industri berhampiran serta di Selatan Semenanjung tanah air. 

“Ini akan menjadi kemudahan rawatan sisa bersepadu pertama di Johor yang memenuhi keperluan kapasiti rawatan khusus untuk sisa industri,” ujarnya.

Projek RRDC, R2E-SW akan dijalankan dalam dua fasa, dengan fasa pertama merangkumi tapak pelupusan yang selamat, loji pirolisis dan mikro, loji pengukuhan, loji rawatan leachate dan semua infrastruktur sokongan dan dijadualkan untuk memulakan operasi pada suku keempat 2023. -KOSMO! ONLINE

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI