fbpx

31 penjaja di kaki lima Chow Kit tiada lesen – DBKL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video yang dimuat naik Mustafa Khan menggesa pihak DBKL mengambil tindakan terhadap pengusaha tidak berlesen di hadapan pasar raya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menegaskan pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang kelulusan atau lesen berniaga kepada peniaga di kaki lima hadapan Pasar Raya AJ Best di Jalan Tuanku Abdul Rahman (Chow Kit), di sini.

DBKL dalam kenyataannya berkata, aktiviti menjaja di kawasan itu bermula apabila penjaja dalam bangunan pasar raya berkenaan terpaksa keluar bagi memberi ruang kerja baik pulih dijalankan.

Menurut kenyataan itu, bangunan yang terletak bersebelahan Arked Bazar Sudirman (dahulunya Bazar Uda Ocean) telah diambil alih syarikat AJ Best sejak April 2019.

“Awalnya, hanya 13 penjaja yang berniaga di dalam bangunan pasar raya ini terpaksa keluar disebabkan kerja-kerja baik pulih yang dilaksanakan pemilik baharu (AJ Best).

“Penjaja terpaksa membuat penempatan sementara di kaki lima, namun enggan untuk memasuki semula bangunan walaupun ditawarkan selepas kerja baik pulih siap,” katanya dalam kenyataan hari ini.

DBKL turut memaklumkan, bancian pada Ogos 2019 merekodkan seramai 31 penjaja menjalankan aktiviti di situ, namun tiada sebarang kelulusan dikeluarkan dan juga tiada permohonan lesen dikemukakan kepada DBKL

Tambahnya, penjaja tersebut tidak terlibat dalam pemindahan ke bangunan baru Pasar Raja Bot yang masih dalam proses pembinaan.

“Justeru, DBKL sedang mengenal pasti status terkini bilangan penjaja di lokasi tersebut dan akan melesenkan penjaja-penjaja yang layak untuk ditempatkan di lokasi yang bersesuaian,” katanya.

Baru-baru ini, Pengerusi Persatuan Hak Masyarakat Malaysia, Mustafa Khan menerusi satu video yang dikongsikan di TikTok meminta DBKL mengambil tindakan ke atas perniagaan warga asing tanpa lesen yang memenuhi ruang hadapan pasar raya tersebut.

Aktiviti penjajaan itu telah menyebabkan halangan dan kerugian kepada perniagaan dalam premis.

Mustafa mendakwa penjaja telah membayar duit kepada persatuan peniaga di kawasan itu menyebabkan tiada sebarang tindakan penguatkuasaan diambil walaupun telah beroperasi selama beberapa tahun. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI