fbpx

Sime Darby Motors bangunkan pusat membaiki, mengecat badan kenderaan di Pulau Pinang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jeffrey (tiga dari kiri) pada majlis pelancaran pusat membaiki dan mengecat badan kenderaan berpusat di Jalan Sungai Pinang, Pulau Pinang baru-baru ini.

PETALING JAYA – Sime Darby Motors telah melabur sebanyak RM3 juta untuk membangunkan pusat membaiki dan mengecat badan kenderaan berpusat di Jalan Sungai Pinang, Pulau Pinang bagi melengkapkan lagi penawaran perkhidmatannya kepada para pelanggan di kawasan Utara.

Sime Darby Motors terlibat dalam penjualan runcit kenderaan BMW, MINI, Motorrad, BYD, Volvo, Jaguar, Land Rover, Ford, Hyundai dan juga kenderaan terpakai berkualiti menerusi Sime Darby Auto Selection.

Pengarah Urusan Sime Darby Motors, Asia Tenggara, Hong Kong dan Macau, Jeffrey Gan berkata, pusat servis yang berkeluasan 20,000 kaki persegi itu dilengkapi dengan teknologi dan peralatan terkini.

Menurut beliau, ia mempunyai empat ruang mekanikal dilengkapi alat pengangkat, termasuk satu ruang kegunaan berat (kerja membaiki badan), satu ruang perataan kering, satu ruang persediaan dan satu ruang khas penyemburan dengan keupayaan menservis dan membaiki sehingga 80 unit kenderaan yang memerlukan kerja pembaikan badan dalam sebulan.

“Dengan kemudahan baharu ini, aliran kerja untuk kerja-kerja pembaikan dan baik pulih akan diselaraskan bagi semua jenama Sime Darby Motors bagi memastikan perkhidmatan yang disediakan mematuhi piawaian kualiti terperinci jenama. 

“Aliran kerja baharu ini juga akan mempercepatkan kerja pembaikan dan baik pulih, lantas mengurangkan tempoh pelanggan kami tidak dapat menggunakan kenderaan mereka,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini baru-baru ini.

Tambah  Jeffrey, kemudahan baharu itu mempunyai kelengkapan sewajarnya untuk menyediakan perkhidmatan yang komprehensif.

“Pengguna dijamin mendapat perkhidmatan bermutu tinggi bagi semua kerja pembaikan dan baik pulih yang diperlukan. Perkhidmatan yang disediakan termasuk khidmat servis asas, pembaikan kemalangan, kerja cat dan juga penyediaan dokumen yang diperlukan untuk tuntutan insurans.”

“Kami mempunyai pakar-pakar terlatih yang akan memastikan semua kerja pembaikan dan penyenggaraan dilakukan mengikut garis panduan yang ditetapkan daripada syarikat prinsipal pelbagai jenama di bawah naungan kami,” jelasnya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI