fbpx

2.8 juta pasport dikeluarkan sepanjang pasca Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saifuddin ketika Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Majlis Iftar KDN Madani di Bayan Baru hari ini. - Foto oleh IQBAL HAMDAN/ KOSMO!

GEORGE TOWN – Jabatan Imigresen mengeluarkan sebanyak 2.8 juta pasport sepanjang tempoh pasca pandemik Covid-19 iaitu peningkatan empat kali ganda berbanding tempoh sebelumnya.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 45 peratus permohonan dilakukan secara dalam talian dan pasport yang telah siap boleh dikutip oleh pemohon dalam tempoh dua atau tiga hari sahaja.

”Selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Jabatan Imigresen setiap hari berdepan dengan kesesakan orang ramai namun tidak semua lokasi menghadapi isu ini.

”Sebagai contoh di Perlis, Jabatan Imigresen hanya keluarkan sekitar 20 hingga 30 pasport sahaja namun di Damansara, Shah Alam, Kelana Jaya jumlahnya berlipat kali ganda.

“Walaupun berdepan kesesakan, sejak pasca Covid-19, 2.8 juta pasport telah dikeluarkan tidak ada satu pun permohonan ditolak, 45 peratus pemohonan adalah di dalam talian manakala yang lain hadir sendiri ke pejabat Imigresen,” katanya selepas menghadiri majlis penerapan nilai-nilai murni dan iftar KDN Madani, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Saifuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak berkata, 60 peratus daripada pemohon yang memperoleh pasport telah memulakan perjalanan ke luar negara, manakala 40 peratus daripadanya tidak keluar.

Dalam pada itu, katanya, Jabatan Imigresen akan memulakan projek perintis dengan beberapa langkah diambil untuk mengurangkan kesesakan di pejabat pengeluar pasport terutama di kawasan Lembah Klang.

”Kita telah kenal pasti 21 pejabat pengeluar pasport yang mengalami kesesakan luar biasa, di sini kita telah tambah waktu bekerja termasuk Sabtu dan Ahad, ia membantu sedikit untuk mengurangkan kesesakan,” katanya.

Katanya, terdapat beberapa pejabat pengeluar pasport yang akan dijadikan lokasi untuk mengambil pasport yang siap dipohon menerusi dalam talian.

Selain itu tambahnya, Jabatan Imigresen akan menggantikan mesin cetak sedia ada di pejabat pengeluar pasport dengan mesin cetak yang berkapasiti tinggi iaitu mampu mencetak lebih 1,000 sehari berbanding 500 pasport sehari pada masa ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI