SEPANG- Pemaju hartanah, NCT Group of Companies optimis mampu mengubah landskap selatan Selangor sebagai pusat pertumbuhan ekonomi yang baharu.
Keyakinan itu disuarakan Pengarah Urusannya, Datuk Seri Yap Ngan Choy menerusi projek integrasi terkini Taman Perindustrian Pintar NCT (NSIP) di Selangor.
“Lokasi ini bakal menjadi langkah besar pembangunan yang berteraskan teknologi Revolusi Industri Generasi Keempat (4IR) malahan terurus pertama di Malaysia.
“Fasa pertama NSIP daripada tiga fasa dicadangkan dengan berkeluasan 20 hektar itu diunjurkan siap menjelang suku keempat 2025 kelak,” katanya pada majlis pecah tanah NSIP oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari di Pusat Konvensyen dan Hotel Movenpick KLIA di sini hari ini.
Katanya, apabila lengkap kesemua tiga fasa itu, nilai pembangunan kasar (GDV) dijangka mencecah RM8 bilion yang akan memacu pesat ekonomi di selatan Selangor.
“NSIP yang disasarkan menarik ramai pelabur antarabangsa mampu menawarkan lebih 50,000 peluang pekerjaan baharu ketika sepanjang proses pembinaan.
“Setakat ini, perkembangan projek itu amat baik malah sudah menarik pelabur sulung, Yuepu dari China yang bersetuju membeli kira-kira 19 hektar untuk dimajukan,” jelasnya.
Firma itu katanya berminat dengan usaha NCT yang memajukan NSIP dengan kerjasama Telekom Malaysia, Huawei Technologies, Microsoft, Solarvest Holdings dan banyak lagi. – KOSMO! ONLINE