PETALING JAYA – Kadar elaun ‘on-call’ sebanyak RM9 sejam yang diterima pegawai perubatan di hospital kerajaan dianggap tidak setimpal dengan bebanan kerja yang ditanggung mereka sehingga ada doktor terpaksa bekerja sehingga 32 jam.
Malah, bayaran elaun itu adalah lebih rendah berbanding ‘upah’ melebihi RM10 sejam yang diterima pekerja sambilan di rangkaian restoran minuman kopi premium.
Seorang pegawai perubatan yang dikenali sebagai Dr. Hanim berkata, ketika ini nisbah seorang doktor ‘on-call’ dengan jumlah pesakit yang perlu dipantau sekitar 40 orang.
Menurutnya, nisbah itu menunjukkan bebanan kerja yang terpaksa ditanggung begitu berat dan kadar elaun yang diberikan tersebut tidak munasabah sama sekali.
“Pada saya ia (elaun itu) tidak setimpal. Bayangkan seorang pegawai perubatan yang ‘on-call’ perlu menjaga antara 30 hingga 40 pesakit di dalam beberapa wad.
“Bagaimanapun, ada wad yang mempunyai bilangan pesakit yang lebih daripada jumlah ini,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Dr. Hanim memberitahu, jika terlibat dengan ‘on-call’, pegawai perubatan kebiasaannya perlu bekerja sehingga 32 jam.
“Jika hari biasa, pegawai perubatan perlu bertugas dari pukul 8 pagi hingga 5 petang, tetapi pada hari ‘on-call’, mereka bekerja dari pukul 8 pagi hingga 1 tengah hari pada keesokan harinya iaitu selama 28 jam.
“Cuma sesetengah jabatan terpaksa bertugas sehingga 5 petang keesokan harinya (selama 32 jam), manakala dalam sebulan, perlu ‘on-call’ sekitar enam kali bergantung kepada jumlah pegawai perubatan dalam jabatan.
“Bagi jabatan yang tidak mempunyai pegawai perubatan mencukupi, kami perlu ‘on-call’ dengan lebih kerap lagi,” ujarnya.
Seorang doktor pelatih dikenali sebagai Dr. Faizal pula memberitahu, dia dan rakan sejawat lain adakala terpaksa bekerja sehingga 78 jam seminggu.
“Kami perlu kerja dari pukul 7 pagi hingga pukul 7 atau 9 malam, manakala sehingga 10 malam bagi tempoh tagging (digandingkan bersama doktor pelatih kanan atau pegawai perubatan).
“Jumlah jam kerja mestilah sekurang-kurangnya 60 jam seminggu. Ada antara kami yang pernah bekerja sehingga 78 jam seminggu.
“Berkaitan cuti kematian pula, saya difahamkan bahawa kami hanya boleh mengambil cuti kecemasan sehingga tiga hari.
“Saya tidak pasti pula ia sama atau tidak dengan hospital lain atau jabatan yang mempunyai kekurangan pegawai perubatan,” ujarnya.
Katanya, isu beban kerja berlebihan dan bayaran tidak setimpal perlu diselesaikan segera bagi mengelakkan lebih ramai doktor yang cemerlang dalam perkhidmatan berhenti atau berhijrah ke luar negara yang menawarkan gaji serta elaun lebih tinggi.
“Ada antara kami juga yang perlu buat kerja luar contohnya sediakan katil pesakit, buat prosedur-prosedur kecil dan hantar pesakit ke jabatan lain.
“Namun, pada masa sama, kami juga perlu berdepan dan menjaga lambakan pesakit di wad, sedangkan perkara-perkara seperti itu boleh dilakukan oleh jururawat atau penolong pegawai perubatan.
“Ini adalah antara isu yang menyumbang kepada burnout rakan sejawat dan pegawai perubatan lain yang mendorong mereka berhenti kerja dan ada yang telah berhijrah ke negara lain,” katanya.
Baru-baru ini di Dewan Rakyat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, kadar elaun ‘on-call’ RM9 kepada pegawai perubatan masih sesuai.
Beliau menjelaskan, ia diukur dengan penetapan kadar mengikut hari tugas jam berbanding kadar elaun lain diterima perkhidmatan lain.
Pada 30 Januari lalu, Kosmo! juga melaporkan industri perubatan di Malaysia bakal berdepan dengan isu kekurangan kakitangan apabila ramai doktor muda memilih luar negara sebagai tempat mencari rezeki.
Antara alasan mereka iaitu sukar mengembangkan cita-cita sebagai pakar sepanjang berkhidmat di negara ini selain isu gaji, elaun, buli dan sistem kontrak yang tidak jelas.














