fbpx

Tudung ditempah siap hanya dalam tempoh 1 jam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pelbagai corak tudung sesuai digayakan semasa lebaran nanti.

DALAM memilih rekaan tudung, setiap orang mempunyai cita rasa masing-masing dan ada juga yang mahukan gaya eksklusif dengan membuat tempahan khas kerana tidak mahu sama dengan orang lain.

Bagi memenuhi cita rasa pelanggan yang mahukan gaya eksklusif, HijabDesigners memberi peluang kepada para pelanggan untuk membuat tempahan khas tudung dan boleh disiapkan dalam masa satu jam sahaja.

Menurut pengurus operasinya, Nur Radhwa Mustaffa Kamal, konsep sebegini membolehkan pelanggan memiliki tudung eksklusif dan istimewa yang tiada dijual di tempat lain.

“Pelanggan boleh terus datang ke butik untuk berbincang dengan pereka kami mengenai rekaan, material mahupun saiz yang dikehendaki dan mereka boleh terus mendapatkan tudung tersebut dalam masa satu jam.

“Bagi yang tidak berkesempatan datang ke butik, mereka juga boleh mendapatkan khidmat nasihat secara online untuk membuat tempahan khas itu dan tudung yang telah siap akan dihantar ke rumah pelanggan dalam masa dua hari.

“Konsep ini sangat istimewa memandangkan selalunya untuk membuat tempahan khas pelanggan mestilah menempahnya dalam jumlah yang banyak, tetapi kami terima walaupun untuk sehelai tudung,” katanya kepada Stailo.

Berteraskan konsep tempahan segera, tudung-tudung dapat disiapkan serta-merta.

Tambahnya, pelanggan akan dikenakan bayaran RM200 untuk sehelai tudung tempahan khas yang menggunakan kepakaran tenaga kerja, manakala bagi yang mempunyai rekaan sendiri hanya membayar harga tudung normal iaitu RM49 ke atas mengikut saiz, corak dan fabrik.

Di samping menawarkan konsep tempahan khas, HijabDesigners adalah syurga pencinta hijab kerana jenama itu menawarkan lebih sejuta rekaan tudung yang terdiri daripada tudung sarung, bawal dan selendang.

Menariknya, ia juga mempunyai lebih 100 orang pereka hebat yang datang dari pelbagai negara seperti Taiwan, Singapura, Brunei, Indonesia dan Malaysia.

“Setiap pelanggan yang datang ke butik tidak akan balik dengan tangan kosong kerana terdapat pelbagai rekaan menarik disediakan untuk mereka pilih.

“Kami menggunakan fabrik seperti kapas voile, sifon baby doll, arabian krep, ryana satin dan premium satin yang cantik terletak, mudah dibentuk serta tidak ‘pekak’ apabila dipakai di atas kepala,” terang anak kelahiran Muar, Johor itu.

Harga yang ditawarkan bergantung saiz, fabrik, rekaan dan perincian iaitu bermula RM49 dan ke atas.

Bagi yang mahu gaya lebih mewah, juga ditampilkan perincian batu permata seperti Swarovski.

Di samping itu, sempena lebaran yang bakal tiba, HijabDesigners telah meningkatkan bilangan rekaan tudung sarung memandangkan ia mendapat permintaan tinggi pada musim perayaan.

“Kami menyediakan tudung sedondon yang boleh dipakai oleh ibu dan anak dengan saiz bermula L hingga XXL.

“Pun begitu, tidak terhad kepada saiz yang disediakan, pelanggan juga boleh membuat permintaan saiz tudung mengikut keselesaan mereka dan kami akan membuat cetakan baharu.

“Bagi tudung sarung ini, kami menggunakan fabrik moss krep kerana terbentuk cantik dan tidak mudah berkedut,” ujar anak ketujuh daripada lapan beradik itu.

Tudung-tudung boleh didapati di laman webnya atau di pelbagai platform lain seperti Shopee, Lazada, stokis, ejen, dropship dan berkunjung ke butik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN