fbpx

Laman web Imigresen digodam, tiada kebocoran maklumat dikesan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Tiada kebocoran maklumat dikesan susulan serangan siber ke atas laman web rasmi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bermula awal pagi tadi.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, laman web JIM dijangka pulih dan boleh diakses semula oleh orang ramai dalam masa terdekat petang ini.

Beliau berkata, pihaknya telah mengambil langkah pembetulan serta-merta dengan menutup capaian laman web dari akses orang ramai dan melakukan kerja-kerja baik pulih serta konfigurasi keselamatan laman web.

“Bahagian Teknologi Maklumat jabatan telah mengadakan perbincangan dan kerjasama bersama Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan CyberSecurity bagi membantu JIM untuk tindakan pengukuhan laman web,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Katanya, pihaknya turut mengesahkan bahawa capaian-capaian yang berkaitan dengan perkhidmatan JIM seperti Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMS) dan Sistem Semakan Perjalanan Imigresen (SSPI) dan lain-lain tidak terkesan dengan insiden ini.

“Laman web kami www.imi.gov.my telah diserang pada jam 2 pagi tadi oleh penyerang yang menggelarkan dirinya sebagai ‘CaptainSmok3r’. Serangan cyber ini berbentuk ‘defacement’ dan telah mengakibatkan muka hadapan laman web JIM ditukar kepada paparan imej yang lain,” jelasnya.

Susulan itu, katanya, laman web itu kini diselenggara sementara waktu sejak tujuh jam lalu dan tidak dapat diakses setakat ini.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI