fbpx

Produk Kahf bakal peroleh pensijilan halal Jakim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Achmad (kiri) membuat perlepasan larian KahfBro Run di Putrajaya, baru-baru ini.

PUTRAJAYA – PT Paragon Technology and Innovation (Paragon), pengeluar produk penjagaan diri halal khusus untuk lelaki berjenama Kahf yang terkenal dari Indonesia, sedang mendapatkan pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi mengukuhkan keyakinan pelanggan di negara ini.

Ketua Kanan Perniagaan Antarabangsa Malaysia Paragon, Achmad Fadli berkata, meskipun produk tersebut telah mendapat pengesahan sijil halal di negara asalnya di Indonesia, pihaknya akur untuk mendapatkan pengesahan tersebut sekali lagi daripada Jakim.

“Kejayaan produk kami di Malaysia akan menjadi penanda aras kepada inisiatif syarikat untuk menembusi negara jiran yang lain, termasuk di rantau Asia Barat secara berperingkat pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran program KahfBro Run, melibatkan kira-kira 150 peserta lelaki menyertai acara larian sepanjang lima kilometer yang menawarkan hadiah serta cabutan bertuah bernilai sehingga RM5,000 di Pantai Floria, Putrajaya baru-baru ini.

Achmad menjelaskan, produk Kahf memiliki keunikannya tersendiri dengan menawarkan lebih daripada 10 unit simpanan stok (SKU) bagi memenuhi setiap keperluan pelanggannya yang disasarkan kepada kumpulan berusia lebih 18 tahun.

Sebahagian daripada produk Kahf yang dipasarkan di Malaysia dan telah mendapatkan sambutan baik daripada kumpulan sasaran.

Ia terdiri daripada segmen pencuci muka, pelembap, pelin­dung sinaran matahari, minyak wangi serta produk penjagaan rambut dan juga janggut.

Jenama yang telah berada di pasaran Indonesia sejak dua tahun lalu itu kini berada di tangga kedua dalam segmen produk penjagaan lelaki di Indonesia.

Sementara itu, mengulas mengenai program KahfBro Run, wakil jenama yang ditemui pada majlis tersebut, Bella Indah Permatasi berkata, syarikat mempunyai misi berterusan untuk menyebarkan nilai kebaikan sejagat dalam kehidupan dan mening­katkan kualiti hidup yang lebih baik.

“Jenama Kahf akan terus berusaha untuk mempromosikan pengalaman dan penjagaan diri dan kulit lelaki di tahap terbaik, semula jadi ringan, halal dan bersih bertujuan meningkatkan nilai kehidupan lelaki.

“Melalui penglibatan bersama komuniti ini, kami percaya akan dapat menawarkan satu lagi pendekatan gaya hidup untuk memberi inspirasi kepada kaum lelaki supaya terus belajar dan berkongsi kesedaran bukan sahaja mengenai gaya hidup dan kesihatan, malah penjagaan diri serta kulit,” jelasnya.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI