fbpx

BNM, MAS lancar jalinan pembayaran kod QR rentas sempadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Usaha sama antara BNM dan MAS akan memudahkan lagi penduduk di dua buah negara itu membuat pembayaran yang pantas, cekap dan saling berhubung kait. -Gambar hiasan

PETALING JAYA – Bank Negara Malaysia (BNM) dan Monetary Authority of Singapore (MAS) melancarkan jalinan pembayaran kod QR rentas sempadan antara Malaysia dengan Singapura.

Jalinan pembayaran ini akan membolehkan pelanggan institusi kewangan yang mengambil bahagian membuat pembayaran runcit dengan mengimbas kod QR DuitNow dan NETS2

 Jalinan ini akan menyokong pembayaran secara bersemuka oleh pengguna melalui pengimbasan kod QRfizikal yang dipaparkan oleh peniaga serta transaksi e-dagang rentas sempadan secara dalam talian.

DuitNow QR adalah  penyelesaian kod QR nasional di Malaysia yang dikendalikan oleh Payments Network Malaysia Sdn. Bhd. (PayNet) manakala  NETS QR merupakan penyelesaian kod QR yang dikendalikan oleh rangkaian pembayaran elektronik Singapura, NETS. 

DuitNow QR dan NETS QR membolehkan peniaga menerima bayaran daripada pelanggan bank dan pengendali e-dompet berbeza yang mengambil bahagian dengan menggunakan kod QR yang seragam.

 

Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd. Yunus berkata, jalinan pembayaran kod QR DuitNow-NETS merupakan pencapaian penting dalam kerjasama berterusan antara Malaysia dengan Singapura untuk meningkatkan hubungan pembayaran rentas sempadan. 

“Dengan purata trafik tahunan sebelum pandemik sebanyak 12 juta pelawat antara kedua-dua negara, jalinan pembayaran ini akan memberikan peniaga dan pengguna suatu cara untuk membuat dan menerima bayaran dengan lebih lancar dan cekap.

“Inisiatif ini menunjukkan komitmen kedua-dua negara untuk menurunkan kos serta meningkatkan kelajuan, akses dan ketelusan pembayaran rentas sempadan, sejajar dengan ASEAN Payment Connectivity Initiative dan G20 Roadmap for Enhancing Cross-border Payments,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan.

Menurut beliau, pencapaian ini merupakan satu langkah ke hadapan yang penting dalam merealisasikan visi rangkaian sistem pembayaran runcit ASEAN yang pantas, cekap dan saling berhubung kait. 

“Jalinan pembayaran QR antara Malaysia dengan Singapura akan memberikan manfaat kepada berjuta-juta pengguna yang berulang-alik menggunakan Tambak Johor (Causeway) serta pelawat yang mempunyai urusan perniagaan dan percutian. 

“Jalinan ini juga akan merangsang perniagaan runcit di kedua-dua negara. Kami akan terus bekerjasama rapat dengan rakan usaha sama kami untuk mempercepat  agenda pendigitalan ke arah penyepaduan ekonomi dan kewangan serantau yang lebih mantap,” ujar beliau. -KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI